KUALA LUMPUR: Tiada sebarang rekod dikesan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap semakan tiga daripada lapan kesan cap jari yang ditemui di tempat kejadian pemain bola sepak Malaysia, Faisal Halim, disimbah asid pada 5 Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya sudah mendapatkan bantuan JPN bagi membuat semakan terhadap cari jari yang dianalisis pihak forensik.
“Apabila JPN periksa, tiada sebarang rekod dalam sistem. Kemungkinan cap jari ditinggalkan bukan ibu jari. Bagaimanapun, pihak polis giat mencari bukti-bukti bagi siasatan kes terbabit,” katanya, lapor Harian Metro (HM).
Sebelum ini HM melaporkan hasil analisis mendapati lima daripada lapan cap jari ditemukan di tempat kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor, tidak cukup sifat.
Tan Sri Razarudin berkata baki tiga cap jari lagi tidak mempunyai padanan dalam pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkemungkinan kerana individu berkenaan tidak pernah ditahan polis dan tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Susulan itu, polis mengedarkan fotofit atau lakaran wajah individu disyaki suspek kejadian berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali individu itu diminta tampil bagi membantu siasatan.
Pada 9 Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilaporkan berkata polis sedang menganalisis cap jari yang ditemukan di tempat kejadian pemain Malaysia itu disimbah asid.
Datuk Mohd Shuhaily berkata hasil semakan kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati suspek ada menyentuh beberapa objek dan meninggalkan cap jari.
Kejadian tragik itu menyebabkan Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan akibat disimbah asid.
Beliau menerima rawatan di hospital selama tiga minggu selepas menjalani empat pembedahan untuk merawat luka lecuran sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada 25 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg