ISKANDAR PUTERI: Pemain sayap kebangsaan, Mohamad Faisal Abdul Halim, mengakui rindunya terubat selepas membantu Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada perlawanan pertama Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, semalam.
Mohamad Faisal, atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim, berkata walaupun berpeluang kembali beraksi, beliau masih perlu bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan dan mencapai tahap terbaiknya.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), jurulatih Peter (Cklamovski), TMJ (Tunku Mahkota Johor) yang memberi peluang dan semangat kepada saya setahun tak bersama pasukan kebangsaan.
“Ini kali pertama saya menyarung jersi pasukan kebangsaan kembali, rindu itu.. amat-amat rindu sebenarnya, dan pada malam ini (25 Mac) walaupun dapat peluang bermain saya rasa banyak lagi saya perlu perbaiki untuk masa depan dan perlawanan berikutnya,” katanya ketika ditemui selepas aksi menentang Nepal.
Faisal membuat penampilan pertamanya dengan jersi Harimau Malaya sejak kejadian serangan asid pada Mei 2024, apabila dimasukkan ketika perlawanan berbaki kurang 20 minit.
Pada 5 Mei 2024, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badannya dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg