Kerajaan Johor dijangka melaksanakan Fasa 5 inisiatif bantuan perumahan negeri seawal Ogos ini, dengan kira-kira 5,000 penerima telah dikenal pasti bagi menikmati bantuan berkenaan.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata pelaksanaan itu akan disegerakan sebaik sahaja barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu dibentuk.

“Senarai nama untuk Fasa 5 sudah siap, begitu juga proses teknikalnya. Insya-Allah apabila Exco baharu dilantik, kita akan laksanakan segera.

“Kita menyasarkan kira-kira 5,000 penerima dan jika diizinkan, pelaksanaannya boleh dimulakan pada Ogos ini,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan bantuan perumahan susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai.

Datuk Mohd Jafni berkata kemenangan BN yang memperoleh 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan rakyat Johor terus memberikan keyakinan kepada kerajaan negeri untuk meneruskan agenda pembangunan.

“Alhamdulillah, rakyat Johor telah memberikan mandat yang lebih besar kepada kerajaan negeri. Sebelum ini kita memperoleh 40 kerusi, kini meningkat kepada 48 kerusi.

“Terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang terus memberikan kepercayaan kepada kerajaan ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi yang diperkenankan oleh Sultan Johor dan Pemangku Sultan Johor untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua.

Menurutnya, semua inisiatif perumahan yang diumumkan dalam manifesto BN akan diteruskan, termasuk bantuan Beli Rumah RM5,000 ($1,589), Masuk Rumah RM2,000 dan Sewa Rumah RM2,500 secara sekali bayar.

Katanya, kerajaan negeri juga akan meneruskan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Rumah Kasih Johor untuk golongan kurang berkemampuan, rumah bersubsidi berharga RM30,000 seunit serta program baik pulih rumah.

Datuk Mohd Jafni berkata sehingga suku pertama 2026, sebanyak 21,412 unit RMMJ telah disiapkan.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan menyiapkan lebih 8,000 unit lagi menjelang akhir tahun ini bagi mencapai sasaran 30,000 unit rumah mampu milik yang ditetapkan bagi tempoh 2022 hingga penghujung 2026.

“Insya-Allah tahun depan kita akan berbincang dengan lebih banyak pemaju untuk memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik bersubsidi dengan harga serendah RM42,000 sehingga RM300,000,” katanya.

Selain sektor perumahan, beliau berkata pelbagai inisiatif lain yang terkandung dalam manifesto BN turut akan diteruskan, termasuk kelulusan lesen perniagaan tidak berisiko dalam tempoh 24 jam serta pelbagai bantuan kepada peniaga.

“Kita akan sedaya upaya menunaikan semua janji yang telah dimasukkan dalam manifesto BN Johor pada PRN kali ini.

“Saya percaya dasar-dasar yang melibatkan semua portfolio Exco akan diteruskan tanpa mengira siapa yang akan dilantik,” katanya.