Perjalanan sejauh 120 kilometer yang ditempuh seorang pengundi dari Sri Medan, Batu Pahat, untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir dengan penuh hiba apabila beliau tiba hanya seminit selepas pusat mengundi ditutup.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin, Encik Hairi Mad Shah, berkata kisah menimpa Encik Rahmat Shukor, 58 tahun, menyentuh hatinya sehingga beliau mengambil inisiatif menjejaki pengundi itu bagi mendengar sendiri luahan perasaannya.

Katanya, Encik Rahmat memandu tanpa henti dari Sri Medan menuju ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Foon Yew 4 di Larkin, Johor Bahru, bagi membuang undi, namun kesesakan lalu lintas luar biasa dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Renggam hingga Sedenak menyebabkan beliau terlewat.

“Hanya seminit. Itulah yang memisahkan beliau daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Selepas membaca kisah beliau di media, saya berusaha mencari semula Pakcik Rahmat dan alhamdulillah kami berjaya menemuinya di kediaman keduanya di Pangsapuri Taman Suria Muafakat, Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan pada 13 Julai.

Encik Hairi berkata beliau meluangkan masa berbual dengan Encik Rahmat bagi mengetahui sendiri pengalaman dilaluinya pada hari pengundian.

Menurutnya, Encik Rahmat melahirkan rasa amat kecewa kerana tidak sempat membuang undi untuk Barisan Nasional (BN) di DUN Larkin walaupun sanggup meredah perjalanan ratusan kilometer demi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Walaupun undi pakcik tidak sempat masuk ke dalam peti undi, niat dan pengorbanan pakcik jauh lebih besar nilainya.

“Perjalanan sejauh 120 kilometer itu membuktikan kasih sayang rakyat terhadap perjuangan yang didukung. Itulah semangat sebenar demokrasi dan cerminan hati rakyat,” katanya.

Encik Hairi berkata pertemuan itu turut meninggalkan kenangan manis apabila Encik Rahmat menjamu rombongannya dengan buah rambutan hasil dusun yang diusahakan sendiri di Sri Medan.

“Manisnya rambutan itu semanis budi dan keikhlasan tuannya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Encik Rahmat atas kesetiaan dan pengorbanan yang ditunjukkan sepanjang proses pilihan raya.

“Kemenangan di Larkin ini juga adalah kemenangan Encik Rahmat. Saya akan memastikan setiap amanah rakyat, termasuk amanah mereka yang tidak sempat diterjemahkan di peti undi, dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Insya-Allah, sepanjang lima tahun akan datang saya akan terus berkhidmat untuk seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.