Fasih Mandarin tarik pelanggan S’pura
Pelakon Razzuan Rosli laris berniaga di pasar malam Johor Bahru
Kefasihan bertutur dalam bahasa Mandarin ternyata menjadi kelebihan luar biasa buat pelakon Razzuan Rosli, 35 tahun, sehingga menarik lebih ramai pelanggan termasuk dari Singapura ke gerai air jus milik keluarganya di beberapa pasar malam sekitar Johor Bahru.
Razzuan berkata hampir separuh pelanggan beliau, terutama di Pasar Malam Permas Jaya setiap Ahad adalah warga Singapura yang datang semata-mata untuk membeli minuman tersebut.
“Hampir separuh pelanggan saya datang dari Singapura. Ada yang sanggup datang dari jauh hanya untuk beli air jus ini, terutama selepas video saya bercakap Mandarin tular di media sosial,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Pelakon drama bersiri Tujuh Hari Mencintaimu 2 dan filem Keluang Man itu berkata sejak Julai, beliau kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, membantu perniagaan bapanya apabila tiada penggambaran.
“Ini perniagaan ayah saya yang sudah berjalan lebih 15 tahun. Sebagai anak sulung, saya rasa ini tanggungjawab saya untuk membantu dan menjaga legasi keluarga,” katanya.
Razzuan, yang berasal dari Pontian, Johor, menjelaskan beliau belum mengambil alih sepenuhnya, sebaliknya sekadar membantu ayahnya buat masa ini.
“Saya belum ambil alih sepenuhnya. Ini masih perniagaan ayah saya, dan saya baru bantu secara aktif sejak kira-kira tiga bulan lalu,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan lokasi jualannya tertumpu di kawasan majoriti Cina, seperti Permas Jaya, Skudai Baru, Puteri Wangsa, Taman Impian Emas, KSL dan Taman Tun Aminah.
“Kebanyakan tempat saya berniaga memang kawasan Cina. Dari dulu lagi ayah saya selesa berniaga dengan masyarakat Cina, mungkin kerana dibesarkan dalam persekitaran itu,” katanya.
Razzuan mendedahkan, sambutan pelanggan melonjak ketara sejak videonya bertutur Mandarin tular, dengan jualan harian meningkat lebih dua kali ganda di beberapa lokasi.
“Sejak video itu tular, jualan memang naik lebih dua kali ganda. Tapi bagi saya, yang penting bukan wajah atau status artis, tetapi cara kita berkomunikasi dan buat orang rasa selesa,” katanya.
Beliau menegaskan tidak pernah memperkenalkan dirinya sebagai artis ketika berniaga di pasar malam.
“Di pasar malam, saya bukan artis. Saya penjual jus. Kalau di set penggambaran, barulah saya jadi pelakon. Di sini, saya sama seperti peniaga lain,” katanya.
Menurut Razzuan, tidak semua pelanggan menyedari statusnya selebriti sebelum ini, namun kini semakin ramai mengetahuinya selepas liputan media dan video tular.
“Sekarang ramai sudah tahu, tapi sebelum ini kebanyakan pelanggan datang sebab air jus, bukan sebab saya artis,” katanya.
Beliau berkata, pelanggan terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India, dan situasi itu mencerminkan keharmonian sebenar masyarakat Malaysia.
“Di pasar malam, kita tak bezakan warna kulit. Semua orang datang, semua orang sama. Inilah Malaysia,” katanya.
Razzuan turut mengakui bahasa menjadi jambatan penting dalam perniagaan, justeru beliau kini sedang mempelajari bahasa Tamil.
“Malaysia ini unik sebab banyak budaya. Kalau kita kuasai bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil, kita boleh berurusan dengan hampir seluruh pasaran di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, antara cabaran utama perniagaan jus ialah menjaga mutu buah-buahan.
“Cabaran paling besar ialah mutu buah. Kadang-kadang buah rosak dan kita tak boleh jual. Bila rosak, kita tanggung kerugian sendiri,” katanya.
Mengulas jumlah jualan, Razzuan berkata ia bergantung kepada lokasi.
“Di Johor Jaya contohnya, sehari boleh habis sekitar 18 hingga 20 kotak buah. Sejak viral, jumlah jualan memang meningkat ketara,” katanya.

