JOHOR BAHRU: Pelbagai isu rakyat yang tertangguh lebih sedekad di daerah Kulai kini mula menemui penyelesaian hasil usaha berterusan Umno, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata dari 2022 hingga 2025, sejumlah RM3.8 juta ($1.1 juta) telah disalurkan untuk pembangunan akar umbi merangkumi pendidikan, masjid, surau dan kebajikan masyarakat.
“RM1.02 juta diperuntukkan untuk sektor pendidikan, RM1.03 juta bagi pembinaan dan penyelenggaraan masjid serta surau, manakala hampir RM1.7 juta disalurkan kepada 179 pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam kebajikan, pembangunan wanita, belia serta keselamatan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 Ogos.
Yayasan Sejahtera Kulai (YSK) turut memainkan peranan besar dengan menyalurkan RM2.76 juta bantuan kebajikan sejak 2022.
Antara bantuan yang diberikan termasuk RM656,500 untuk sumbangan perayaan kepada 3,410 penerima, RM358,500 bagi 2,290 pelajar melalui program ‘Kembali Ke Sekolah’, RM26,994 untuk subsidi cermin mata kepada 310 pelajar, serta RM338,100 kepada 373 pelajar institusi pengajian tinggi menerusi geran kemasukan.
Datuk Mohd Jafni yang juga Ketua Umno Bahagian Kulai berkata kejayaan terbesar ialah menyelesaikan masalah rakyat yang tertangguh antara 15 hingga 20 tahun.
Antaranya, masalah air di Felda Bukit Permai dan Gugusan Murnijaya yang berlarutan lebih 15 tahun selesai melalui projek bekalan air bernilai RM8.2 juta. Isu jalan rosak di Jalan Sengkang–Inas yang pernah meragut nyawa berjaya diatasi dengan peruntukan RM7.6 juta.
“Masalah pewartaan tanah kubur Islam di Bandar Putra yang tertangguh selama dua dekad juga selesai dengan pewartaan tanah seluas 10 ekar bernilai RM7.45 juta. Projek bulatan jalan di Bandar Putra dan jalan pintas ke Kota Tinggi bernilai RM9.5 juta pula sedang giat dilaksanakan,” jelasnya.
Selain itu, masalah capaian internet di Gugusan Murnijaya dan Felda Inas ditangani melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan peruntukan RM4.5 juta.
Dalam sektor perumahan, daerah Kulai telah menyerahkan 1,254 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) kepada rakyat. Ia sebahagian daripada 17,741 unit RMMJ yang siap di seluruh negeri sehingga pertengahan 2025.
“Sebagai Exco Perumahan Johor, saya dan pasukan komited menyampaikan 100,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030 seperti diamanahkan oleh Menteri Besar Johor,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) memperuntukkan lebih RM13 juta bagi menaik taraf prasarana sejak 2022, termasuk menaik taraf gelanggang sukan (RM4.1 juta), membina dewan terbuka (RM4.1 juta), menambah baik sistem saliran dan longkang (RM3.2 juta) serta mengurus projek pengurangan risiko banjir (RM1.6 juta).
Tambahnya, semua kejayaan itu tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama erat kepimpinan Umno daripada peringkat pusat, negeri, bahagian hingga cawangan.
“Apabila parti bersatu hati, pelaksanaan menjadi mudah, penyelesaian segera dicapai dan hasilnya dapat dirasai rakyat,” ujarnya.
Sehingga kini, 667 program akar umbi telah dilaksanakan cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di seluruh Kulai.
“Kita bukan parti yang hanya bergerak ketika pilihan raya. Umno terus bekerja setiap minggu menyantuni rakyat dan menjadi penyambung suara mereka. Di Kulai, Umno hidup bukan kerana slogan tetapi kerana kerja nyata,” tegasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg