KOTA BHARU: Penduduk Kelantan yang bergantung kepada bekalan air bawah tanah mula membuat persiapan awal menghadapi fenomena Super El Nino di negeri itu, yang dijangka bermula November depan.

Rata-rata mereka bimbang telaga tiub atau perigi yang biasanya berkedalaman antara 20 hingga 40 kaki akan mengering akibat cuaca panas berpanjangan.

Peniaga kedai runcit, Encik Abdul Aziz Wahab, 40 tahun, berkata penduduk sedang mencari jalan mengelakkan krisis air.

“Kami bimbang akan menghadapi masalah kekurangan air jika Super El Nino melanda, jadi kami membuat persiapan lebih awal,” kata bapa lima anak berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Suri rumah, Cik Nor Fatihah Salleh, 37 tahun, pula berkata penduduk yang bergantung pada air bawah tanah bimbang jika bekalan air tidak mencukupi sepanjang musim kemarau.

“Saya sudah menggunakan air bawah tanah sejak lima tahun lalu, dan selepas mendengar ramalan fenomena El Nino bakal tiba ini, saya merancang untuk mendalamkan lagi perigi yang ada,” kata ibu kepada dua anak dari Pendek, Kota Bharu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Encik Farhan Sufyan Borhan, berkata pihaknya sedia menghadapi jangkaan Super El Nino bermula November ini, terutama risiko peningkatan kes pembakaran terbuka.

Katanya negeri itu dijangka mengalami cuaca lebih panas menjelang awal 2027, terutama ketika fasa peralihan antara Monsun Timur Laut (MTL) dan Monsun Barat Daya.

Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena Super El Nino dijangka bermula pada November dan berlanjutan hingga awal 2027.

“Walaupun Kelantan mungkin masih menerima hujan ketika MTL, tempoh awal tahun 2027 boleh membawa cuaca yang lebih panas dan kering,” katanya.

Encik Farhan Sufyan berkata suhu boleh mencecah sekitar 38 hingga 39 darjah Celsius di Kelantan, manakala beberapa kawasan di Perlis berpotensi mencatatkan suhu setinggi 41 darjah Celsius.

JBPM amat bimbang dengan peningkatan mendadak kes pembakaran terbuka, sekiranya langkah pencegahan dan kesedaran awam masih berkurangan.

“Pembakaran terbuka boleh meningkat ketara terutama pada musim kering. Ini boleh menyukarkan operasi memadam kebakaran sekiranya paras air menyusut,” katanya.

Encik Farhan Sufyan berkata jabatan berkenaan merekodkan 1,904 panggilan membabitkan pembakaran terbuka sepanjang 2026 setakat ini, berbanding hanya 375 panggilan sepanjang 2025.

“Walaupun kes pembakaran terbuka tinggi pada 2026, paras air masih normal. Jika paras air menyusut pada 2027, usaha mengambil air dari sungai, kolam dan tasik untuk operasi memadam kebakaran akan menjadi lebih sukar,” katanya.

Kawasan tanah gambut di Bachok, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah antara lokasi tumpuan kerana kebakaran di situ mengambil masa lebih lama dipadamkan.

Beliau berkata kebanyakan insiden pembakaran terbuka berpunca daripada tindakan sengaja membakar sampah atau membersihkan tanah, yang dianggap cara murah dan berkesan untuk penyediaan tanah, tetapi boleh menjadi sangat berbahaya jika tidak dikawal.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti