KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima hukuman tambahan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) selepas badan induk bola sepak dunia itu membatalkan keputusan perlawanan membabitkan tiga aksi persahabatan antarabangsa pasukan Harimau Malaya terdahulu.
Perlawanan tersebut termasuk aksi seri 1-1 Malaysia menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei.
Dua perlawanan lain ialah kemenangan 2-1 Malaysia ke atas Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September; dan kemenangan 1-0 Harimau Malaya berdepan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 September.
FAM, dalam kenyataan pada 17 Disember, memaklumkan hukuman terbaru itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Fifa yang bersidang pada Jumaat berkaitan kes menurunkan pemain yang tidak layak.
Badan induk itu menjelaskan, mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Fifa, Jorge Palacio itu mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib Fifa (Edisi 2025) berhubung kes menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan tersebut.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib Fifa membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada ketiga-tiga perlawanan itu.
“Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak 10,000 franc Swiss ($16,209).
“FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib Fifa sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini,” kata FAM, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada September, tujuh pemain Harimau Malaya, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, digantung 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa atas dakwaan pemalsuan dokumen.
Selain digantung, setiap pemain turut didenda CHF 2,000 franc Swiss setiap seorang, manakala FAM pula dikenakan denda 350,000 franc Swiss.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, pada 8 Disember mengesahkan badan induk itu sudah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan oleh Fifa itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg