Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

TMJ: Ada individu Fifa ugut jika bawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan

Dec 11, 2025 | 3:24 PM
TMJ, Tunku Mahkota Johor, Johor Darul Ta’zim, JDT
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa wujud individu tertentu daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang cuba menghalang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada membawa isu penipuan dokumen tujuh pemain kacukan Harimau Malaya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Menurut Tunku Ismail, arahan itu didakwa disampaikan kepada Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, bagi mengelakkan kes berkenaan dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Tunku Ismail yang mesra disapa sebagai TMJ menegaskan percubaan menghalang usaha mendapatkan keadilan itu adalah tindakan yang tidak wajar dan boleh menjejas kepentingan bola sepak Malaysia.

“Tetapi dia tak nak kita pergi ke CAS kerana dia cakap sendiri kepada bekas presiden (Tan Sri Hamidin) jangan pergi ke CAS.

“Awak boleh tanya kepada Tan Sri Hamidin sendiri jangan bawa ke CAS, ada juga ugut kalau bawa juga ke CAS akan kena gantung atau hukuman lebih teruk.

“Kita akan pergi, kalah menang belum tentu... Dia bukan kata tak bagi pergi, tetapi kalau boleh jangan pergi ke CAS,” katanya dalam sesi wawancara TMJ bersama penyokong JDT, di Johor Bahru, pada 10 Disember, lapor Harian Metro.

Lebih mengejutkan, TMJ mendedahkan wujud tekanan yang cuba menghalang FAM daripada meneruskan tuntutan ke CAS meskipun isu tersebut membabitkan maruah serta hak skuad kebangsaan.

TMJ menegaskan isu membabitkan tujuh pemain kacukan Harimau Malaya tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh kepentingan dan masa depan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.

Laman web Malaysiakini melaporkan TMJ menegaskan pegawai FAM wajar meletak jawatan jika didapati melakukan salah laku berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen kewarganegaraan tujuh pemain warisan itu.

TMJ turut menyindir FAM, mempersoalkan sumbangan badan induk itu terhadap pembangunan bola sepak tempatan.

“Kalau ada terlepas pandang daripada mana-mana pihak dalam pentadbiran yang ada dalam FAM, mereka patut letak jawatan lah. Kenapa dia ada di situ, selama ini ada di situ pun apa dia pernah buat untuk bola sepak, cakap dengan saya?

“Bila benda ni berlaku, semua lepas tangan. Siapa yang kerja dalam contoh admin (pentadbir) yang ada salah, letak jawatan, termasuk jika katakan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) terlepas pandang dia buat salah, letak jawatan, ambil tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan FAM kini berada di persimpangan penting selepas CAS mengesahkan menerima rayuan mereka yang difailkan kepada Fifa.

Sebelum ini Jawatankuasa Rayuan Fifa menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan tujuh pemain warisan selepas meneliti keseluruhan bukti serta hujahan dalam prosiding berkaitan kes pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain terbabit adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Dalam keputusan bertulis yang dikeluarkan, badan itu menegaskan kes berkenaan adalah pelanggaran serius di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC), sekali gus mengekalkan semua hukuman yang sudah ditetapkan sebelum ini.

Hukuman terhadap FAM iaitu denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta / $600,000) dikekalkan sepenuhnya, sementara tujuh pemain terbabit turut mengekalkan hukuman masing-masing termasuk denda CHF2,000 (RM10,000) serta penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg