PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada 20 Jun memerintahkan cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan, membayar ganti rugi RM150,000 ($43,065) kepada bekas menantunya, Encik Gavin Edward O’Luanaigh, berhubung penerbitan berunsur fitnah terhadap Encik O’Luanaigh di wadah media sosial.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Wong Kian Kheong, membenarkan rayuan Encik O’Luanaigh untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah memutuskan bahawa kenyataan yang didakwa dibuat oleh cef itu tidak memfitnah Encik O’Luanaigh.
Dalam menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Azizah memerintahkan Cef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada Encik O’Luanaigh dan kos RM40,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau turut memberikan injunksi berkekalan yang melarang Cef Wan daripada menerbitkan kenyataan fitnah bekas menantunya.
Beliau juga memerintahkan Cef Wan membayar faedah 5 peratus setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh.
Ketika menyampaikan alasan penghakiman, Hakim Wong berkata mahkamah mendapati hantaran dalam laman sosial Instagram dan Facebook oleh Cef Wan telah memfitnah Encik O’Luanaigh.
Beliau juga berkata Cef Wan telah melanggar janji kepada mahkamah untuk tidak menyiarkan kenyataan fitnah terhadap Encik O’Luanaigh. Encik O’Luanaigh merupakan warga Britain yang memeluk Islam pada 20 November 2006 dan menggunakan nama Salahudin Ghafffar.
Beliau berkahwin dengan anak Cef Wan, pelakon Serina Redzuawan, pada 2010 sebelum bercerai pada Ogos 2017.
Encik O’Luanaigh memfailkan saman itu pada Februari 2021 dengan mendakwa bahawa lapan hantaran media sosial oleh bekas bapa mentuanya mengenai beliau dan isterinya sekarang dan memfitnah mereka.
Dalam pernyataan pembelaannya, Cef Wan berkata kenyataan yang disiarkan dalam hantaran itu adalah berdasarkan fakta, komen yang adil, dilindungi oleh keistimewaan mutlak dan layak serta dibuat tanpa niat jahat.
Pada 11 Mei 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam sebahagiannya membenarkan tuntutan Encik O’Luanaigh untuk injunksi bagi menghalang bekas bapa mentuanya daripada menerbitkan sebarang dakwaan libel dan palsu terhadapnya.
Hakim Rozi Bainon turut memerintahkan Cef Wan menurunkan kelapan-lapan hantaran berkenaan yang menjadi subjek dalam tuntutan saman fitnah tersebut.
Hakim bagaimanapun berpendapat kenyataan yang disangkal itu tidak memfitnah Encik O’Luanaigh dan tidak diterbitkan dengan niat jahat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg