Topik diikuti
Pergi ke BHkuFormula rajin bekerja, dekati rakyat bantu BN rampas kerusi Johor Jaya
Formula rajin bekerja, dekati rakyat bantu BN rampas kerusi Johor Jaya
Kemenangan petunjuk pengundi kian nilai rekod khidmat calon, keupayaan selesaikan masalah rakyat
Formula rajin bekerja, dekati rakyat bantu BN rampas kerusi Johor Jaya
Kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya selepas lebih sedekad dikuasai Pakatan Harapan (PH) membuktikan pengundi kini lebih mengutamakan calon yang dekat dengan rakyat berbanding semata-mata memilih parti politik.
Bendahari Agung, Persatuan Cina Malaysia (MCA), Encik Tan Tuan Peng, berkata kemenangan itu menjadi petunjuk bahawa pengundi, khususnya masyarakat Cina di kawasan bandar, semakin menilai rekod khidmat seseorang calon serta keupayaannya menyelesaikan masalah rakyat.
Menurutnya, walaupun DUN Johor Jaya mempunyai komposisi pengundi bukan Melayu melebihi 50 peratus, BN tetap berjaya memperoleh sokongan merentas kaum.
“Kita nampak kali ini masyarakat Cina memberi sokongan yang lebih baik kepada Barisan Nasional. Sejujurnya, kami sendiri tidak menjangkakan majoriti kemenangan boleh mencecah 7,268 undi.
“Daripada pemerhatian sepanjang kempen, rakyat lebih melihat kepada calon yang sentiasa berada di lapangan dan mudah ditemui apabila mereka memerlukan bantuan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemenangan calon BN, Cik Chan San San, yang berjaya menamatkan penguasaan PH di kawasan berkenaan.
Menurut Encik Tan, kemenangan itu juga membuktikan parti politik perlu membuat persediaan lebih awal dengan memperkenalkan calon jauh sebelum musim pilihan raya.
Calon memerlukan masa yang panjang untuk membina hubungan dengan masyarakat, terutama di kawasan bandar yang mempunyai jumlah pengundi besar, ujarnya.
“Kalau mahu rakyat mengenali seseorang calon, bukan enam bulan sebelum pilihan raya baru hendak diperkenalkan. Sekurang-kurangnya calon perlu bekerja bersama rakyat selama beberapa tahun.
“Itulah formula yang kami lihat berjaya. Rakyat memilih calon yang mereka kenal dan percaya, bukannya bergantung kepada parti semata-mata,” katanya.
Selain faktor calon, pendekatan kempen yang memberi tumpuan pada pembangunan masa depan Johor turut memainkan peranan penting menarik sokongan pengundi, ujar beliau.
“Kita bercakap mengenai peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan hala tuju Johor.
“Rakyat lebih suka mendengar tawaran yang memberi manfaat kepada masa depan mereka berbanding politik menyerang peribadi atau menimbulkan kebencian,” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang, Encik Mohd Khairul Azlan Sulong, berkata mandat besar yang diberikan rakyat perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan manifesto secara berperingkat.
BN akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dengan melaksanakan janji yang realistik serta mampu ditunaikan, tambah beliau.
“Barisan Nasional tidak menjanjikan bulan dan bintang. Apa yang kita janjikan ialah perkara yang mampu dilaksanakan mengikut kemampuan kerajaan.
“Yang penting ialah membantu rakyat dan memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata antara keutamaan kerajaan negeri selepas ini adalah memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik, menyelesaikan isu penempatan semula setinggan, menambah baik prasarana serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Johor Jaya.
“Kita juga mahu memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan kerana itu antara perkara yang sering dibangkitkan rakyat,” katanya.
Pada PRN Johor ke-16, Cik Chan San San, berjaya merampas kerusi DUN Johor Jaya selepas memperoleh 35,971 undi untuk menewaskan calon PH, Cik Lee Wern Yiing, yang meraih 28,703 undi, sekali gus menang dengan majoriti 7,268 undi.
Kemenangan itu menamatkan penguasaan PH di kerusi berkenaan yang disandang selama tiga penggal oleh Cik Liow Cai Tung, sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013.
