Seawal 7.30 pagi, Profesor Dr Sapora Sipon sudah berada di pusat mengundi di Sikamat, Negeri Sembilan, selepas menempuh perjalanan lebih 450 kilometer dari Kedah, untuk menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Dekan Kulliyah Kaunseling, Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Hakim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah, Profesor Dr Sapora Sipon.
Dekan Kulliyah Kaunseling, Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Hakim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah, Profesor Dr Sapora Sipon. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Beliau merupakan antara lebih 859,000 pengundi yang mula memenuhi 401 pusat mengundi di seluruh Negeri Sembilan yang dibuka sejak 8 pagi 1 Ogos, untuk memilih wakil rakyat baru di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

“Saya pulang jauh dari Kedah ke Negeri Sembilan menempuh perjalanan lebih enam jam untuk mengundi.

“Jadi anda yang tinggal dekat dengan pusat mengundi pun sepatutnya tidak mempunyai alasan untuk tidak keluar mengundi,” kata Dekan Kulliyah Kaunseling, Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Hakim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah, itu ketika ditemui Berita Harian (BH).

Beliau juga merupakan pengundi pertama membuang undi di pusat mengundi di Institut Pendidikan Guru Kolej Raja Melewar di Sikamat, Negeri Sembilan.

Setakat 12 tengah hari, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, memaklumkan sejumlah 37.29 peratusan keluar mengundi direkodkan.

Semua pusat mengundi itu akan ditutup pada 6 petang ini.

Di pusat mengundi sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada 9 pagi bagi memilih wakil rakyat di kerusi DUN Sikamat.

Turut mengiringinya ialah Setiausaha Politik beliau, Encik Noor Azman Mohamad, yang bertanding di DUN Sikamat – mengambil kerusi yang ditinggalkan Datuk Aminuddin yang dipertahankan sejak 2018, sebelum berhijrah ke DUN Linggi dalam PRN kali ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (baju merah), bersama Setiausaha Politik beliau, Encik Noor Azman Mohamad (kanan), ketika tiba di pusat mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, pada 1 Ogos.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (baju merah), bersama Setiausaha Politik beliau, Encik Noor Azman Mohamad (kanan), ketika tiba di pusat mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, pada 1 Ogos. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Ditanya media mengenai ramalan penganalisis yang negatif terhadap kemampuan Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin mengulangi keyakinan bahawa gabungan itu mampu memenangi sekurang-kurangnya 19 kerusi DUN.

“Seperti yang saya katakan, saya yakin PH akan melepasi 19 kerusi dan sehingga saat akhir (tempoh kempen) malam tadi (31 Julai), saya semak di semua kawasan yang kita bertanding mempunyai potensi yang baik... dan saya rasa jentera (PH) tidak rasa tertekan walaupun macam-macam spekulasi.

“(Analisis) itu biasalah, ia hanyalah di atas meja. Jadi saya yakin insya-Allah PH melepasi 19 kerusi,” katanya yang mengundi di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, di Sikamat, Negeri Sembilan.

Dalam PRN Negeri Sembilan ke-16 ini, Datuk Aminuddin mengambil keputusan berisiko bertanding di kerusi kubu Barisan Nasional (BN) di DUN Linggi.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai pengorbanan kepada parti untuk memastikan PH memenangi lebih banyak kerusi.

Melihat perkembangan semasa, Datuk Aminuddin juga menyatakan keyakinan peratusan keluar mengundi boleh melebihi 70 peratus.

Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Cik Istiadziah Ishak, 57 tahun, dan suaminya, Encik Abdul Mutalif Abu Bakar, 60 tahun, pulang dari Kuala Lumpur untuk mengundi dan gembira dengan proses pengundian yang lancar.
Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Cik Istiadziah Ishak, 57 tahun, dan suaminya, Encik Abdul Mutalif Abu Bakar, 60 tahun, pulang dari Kuala Lumpur untuk mengundi dan gembira dengan proses pengundian yang lancar. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Sementara itu, pengundi di DUN Ampangan, Cik Istiadziah Ishak, 57 tahun, dan suaminya, Encik Abdul Mutalif Abu Bakar, 60 tahun, pulang dari Kuala Lumpur untuk mengundi dan gembira dengan proses pengundian yang lancar.

Beliau yang datang berkerusi roda kerana kecederaan ketika bekerja menyeru setiap pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebelum waktu pengundian tamat.

“Dalam masa lima minit saya sudah masuk dalam (tempat membuang mengundi) dan petugas juga cekap membantu terutama dalam keadaan saya yang terbatas dalam pergerakan,” katanya ketika ditemui BH.

Sementara itu, tiga sekeluarga termasuk dua daripadanya yang pertama kali mengundi teruja dapat menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin bagi DUN Ampangan.

Pengundi muda, Cik Ayu Sofia Abas, 19 tahun (tengah), dan Nur Lailatul Aqma, 19 tahun (kanan), datang bersama ibu saudara mereka, Cik Rohaida Abu Samah, 41 tahun, ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Klana Petra Maamor, di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.
Pengundi muda, Cik Ayu Sofia Abas, 19 tahun (tengah), dan Nur Lailatul Aqma, 19 tahun (kanan), datang bersama ibu saudara mereka, Cik Rohaida Abu Samah, 41 tahun, ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Klana Petra Maamor, di Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Cik Ayu Sofia Abas, 19 tahun, dan Cik Nur Lailatul Aqma, 19 tahun, datang bersama ibu saudaranya, Cik Rohaida Abu Samah, 41 tahun, ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Klana Petra Maamor, di Ampangan.

“Sebagai pengundi muda dan pertama kali mengundi, kami sangat teruja kerana mengundi ini satu tanggungjawab besar kepada negara.

“Saya ingin mengajak rakan-rakan lain yang belum mengundi segera datang menunaikan tanggungjawab hari ini sebelum pusat pengundian ditutup,” katanya kepada BH.

Cik Rohaida yang tinggal di Ampangan, berkata proses mengundi berjalan lancar, tersusun dan cepat.

“Saya lihat untuk saluran tujuh (saluran anak muda) sangat ramai yang datang mengundi. Ini satu perkembangan yang baik.

“Jadi saya menyeru mereka yang belum mengundi, masa masih banyak lagi, datang buat pilihan anda,” kata Penyelaras Rekaan itu.

SPR menjangkakan keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan akan diketahui sebelum 12 tengah malam, 1 Ogos.

Dalam PRN kali ini, seramai 103 calon dari lapan parti politik termasuk Bebas bertanding merebut 36 kerusi DUN, dengan gabungan utama seperti PH, Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia menjadi tumpuan.