Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gabungan persatuan pengguna: ‘Vape’ ancaman kesihatan serius di M’sia

May 2, 2025 | 5:11 PM
Pelbagai pihak menyatakan kebimbangan terhadap ancaman rokok elektronik atau ‘vape’ kepada kesihatan rakyat Malaysia dan mahu kerajaan mengharamkan penjualan rokok elektronik itu seperti yang dilakukan Singapura.
Pelbagai pihak menyatakan kebimbangan terhadap ancaman rokok elektronik atau ‘vape’ kepada kesihatan rakyat Malaysia dan mahu kerajaan mengharamkan penjualan rokok elektronik itu seperti yang dilakukan Singapura. - Foto hiasan ASTRO AWANI.

Lebih 90 peratus pengeluaran dan pasaran produk rokok elektronik atau ‘vape’ di Malaysia dikuasai syarikat yang bersekongkol dengan industri tembakau sejagat, sekali gus menjadikan ‘vape’ ancaman serius kepada kesihatan awam dan keselamatan negara.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata industri ‘vape’ bukan sekadar perniagaan biasa, sebaliknya wajah baru industri tembakau yang terbukti hanya mengutamakan keuntungan berbanding kesihatan rakyat.

Fomca dalam satu kenyataan pada 2 Mei menegaskan ia memandang serius taktik licik industri itu, yang bersembunyi di sebalik naratif kononnya memperjuangkan perusahaan tempatan, untuk menolak atau menggagalkan pelaksanaan dasar kesihatan awam negara termasuk bagi mengharamkan penjualan ‘vape’.

“Ini adalah strategi halus tetapi bahaya. Mengeksploitasi sentimen nasional demi melindungi perniagaan yang sebenarnya memudaratkan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia, khususnya golongan muda,” kata Fomca dalam kenyataan itu.

Fomca berkata kebimbangan mengenai bahaya ‘vape’ memuncak apabila Timbalan Ketua Polis Malaysia, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, mendedahkan sindiket pengedaran dadah telah mula memasukkan bahan-bahan ketagihan ke dalam cecair ‘vape’ sebagai kaedah membentuk pelanggan tegar.

“Ini bukan saja menjadikan ‘vape’ sebagai produk berbahaya kepada kesihatan fizikal, malah pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh nombor satu Malaysia.

“Situasi ini sangat membimbangkan dan jika tidak ditangani segera, ia bakal melahirkan generasi yang terperangkap dalam ketagihan dua kali ganda – nikotin dan dadah – melalui produk yang dipasarkan secara terbuka, berwarna-warni dan menarik kepada remaja serta kanak-kanak,” tambah kenyataan itu.

Fomca turut menegaskan bahawa penjualan dan pengedaran ‘vape’ tidak boleh dianggap sebagai satu kegiatan ekonomi biasa, sebaliknya sebagai ancaman yang meluaskan pengaruh industri dadah ke dalam masyarakat arus perdana.

“Ini bukan isu pilihan gaya hidup, tetapi isu keselamatan awam dan kelangsungan generasi akan datang,” kata Fomca.

Menurutnya, Malaysia telah menetapkan Pelan Strategik Kebangsaan Kawalan Tembakau dan Produk Merokok 2021-2030 untuk menurunkan kadar perokok kepada 15 peratus menjelang 2025.

Namun, ia dilihat sukar dicapai jika kerajaan tidak mengambil langkah tegas menangani isu itu.

Justeru Fomca menggesa kerajaan melaksanakan kawalan ketat termasuk mengharamkan penjualan ‘vape’ di Malaysia.

Kerajaan Malaysia menjelaskan pada November 2024 bahawa ia tidak mengharamkan penjualan ‘vape’ di peringkat nasional dan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap ‘vape’ menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober 2024.

Namun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kerajaan Persekutuan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan ‘vape’, melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

Terengganu telah mengumumkan pelaksanaan larangan penjualan ‘vape’ di negeri itu bermula 1 Ogos.

Langkah sama diambil Kelantan dan Perlis. Di Johor, tiada lesen penjualan ‘vape’ dikeluarkan oleh PBT sejak 2016.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg