Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah menerima antara 4,000 dengan 5,000 laporan daripada polis mengenai pemilikan atau penggunaan rokok elektronik, atau ‘vape’, dari 2023 hingga 2024.
Salah satu kes melibatkan ibu bapa yang membawa anak mereka sendiri ke balai polis kerana menghisap ‘vape’, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, pada 3 Mac.
Beliau menjawab soalan Parlimen daripada Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong), yang bertanya mengenai bilangan ibu bapa yang melaporkan anak mereka menghisap ‘vape’.
Kes itu dirujuk kepada HSA, dan remaja itu didenda $300, lapor The Straits Times (ST).
Di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan), individu yang didapati membeli, mengguna atau memiliki produk ‘vape’ boleh didenda sehingga $2,000.
Ketika mengajukan soalan tambahan, Dr Tan berkata kes ibu bapa yang membawa anak mereka ke balai polis itu merupakan penduduk di kawasan undinya.
Beliau berkata: “Ibu bapa tersebut berasa tertekan dan bimbang pendekatan ini (penguatkuasaan Akta Tembakau), walaupun pihak berkuasa berniat baik, mungkin menghalang ibu bapa lain daripada mendapatkan bantuan untuk anak mereka.”
Dr Tan juga bertanya sama ada polis akan memaklumkan kes ibu bapa yang melaporkan anak mereka kepada HSA supaya mereka boleh menerima bantuan yang diperlukan.
Merujuk kepada kes yang sama, Cik Rahayu berkata:
“Secara umum, kami mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dalam situasi di mana individu mahu berhenti menghisap ‘vape’, terutama apabila ibu bapa sendiri membawa anak mereka ke depan.”
Remaja tersebut kemudian diberi amaran dan dihantar untuk kaunseling selepas kes tersebut diteliti.
Cik Rahayu menasihatkan ibu bapa yang mengesyaki anak mereka terlibat dengan aktiviti menghisap ‘vape’ agar menghubungi QuitLine di 1800-438-2000 yang disediakan oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
QuitLine adalah sebahagian daripada program I Quit HPB, yang dilancarkan pada 2014 untuk membantu peserta berhenti merokok.
Ia juga menerima peserta yang ingin berhenti menghisap ‘vape’.
Peserta I Quit tidak akan dikenakan denda atau didakwa, kecuali jika mereka ditangkap menggunakan atau memiliki rokok elektronik.
Pada 2024, 2,000 pelajar ditangkap kerana memiliki rokok elektronik, meningkat daripada 900 kes yang dicatatkan pada 2023.
Statistik ini dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, sebagai jawapan bertulis kepada soalan anggota parlimen, Cik Rachel Ong (GRC West Coast).
Encik Ong berkata peningkatan kes ‘vape’ dalam tiga tahun terakhir ini disebabkan oleh usaha penguatkuasaan yang lebih ketat oleh HSA bersama Kementerian Pendidikan (MOE).
HSA dan Kementerian Kesihatan (MOH) sedang mengkaji semula hukuman bagi pemilikan atau penggunaan rokok elektronik, kata Encik Ong.
“HPB akan mempertingkatkan inisiatif untuk mendidik dan memberi kaunseling kepada golongan belia dan pelajar mengenai faedah gaya hidup bebas nikotin, serta program berhenti menghisap ‘vape’ secara serentak,” tambahnya.
Pada November 2024, ST melaporkan terdapat 9,680 orang ditangkap kerana menggunakan atau memiliki ‘vape’ dalam sembilan bulan pertama tahun tersebut.
Jumlah ini lebih tinggi berbanding 7,838 orang yang ditangkap sepanjang 2023.
“
“Secara umum, kami mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dalam situasi di mana individu mahu berhenti menghisap ‘vape’, terutama apabila ibu bapa sendiri membawa anak mereka ke depan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg