IPOH (Perak): Barangan rumah dan empat kenderaan mewah milik usahawan kosmetik terkenal Malaysia, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida, disita selepas gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilangnya.
Datuk Vida dilaporkan gagal membayar baki tunggakan ubah suai kilangnya di Shah Alam, Selangor, yang dijadikan sebuah studio pada 2018, berjumlah RM1.06 juta ($319,922).
Berikutan itu, perintah penyitaan harta Datuk Vida dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 November, lapor Harian Metro.
Pihak mahkamah bersama peguam, Encik Samir Zainal, dan kontraktor, Encik Mohamad Taufik Kamarul melaksanakan perintah itu di kediaman Datuk Vida di Persiaran Bukit Meru, Ipoh, Perak, kira-kira 9 pagi.
Bagaimanapun, mereka hanya mendapat kebenaran masuk ke kediaman berkenaan sebaik ketibaan kakitangan Datuk Vida sekitar 10.30 pagi.
Menurut Encik Samir, mahkamah mengeluarkan penghakiman yang memerintahkan Datuk Vida menyelesaikan hutangnya itu pada 29 Oktober 2023.
“Semua barang di dalam rumah kecuali bilik Datuk Vida yang berkunci sudah disita selepas hampir empat jam.
“Beliau (Datuk Vida) mempunyai dua minggu sehingga 9 Disember ini untuk menjelaskan hutang itu, jika tidak barang-barang disita terbabit akan dilelong,” katanya.
Encik Samir berkata pihaknya dimaklumkan oleh kakitangan Datuk Vida bahawa usahawan terbabit kini berada di China dan akan menghubunginya dalam masa terdekat.
Sementara itu, Encik Mohamad Taufik berkata Datuk Vida melantik sebuah firma perunding untuk pengubahsuaian itu yang kemudian mendapatkan perkhidmatan syarikatnya sebagai sub kontraktor.
Bagaimanapun, syarikatnya tidak menerima bayaran selepas Datuk Vida dikatakan gagal membayar firma perunding berkenaan, menyebabkan beliau memfailkan kes muflis terhadap firma itu.
Sementara itu, Datuk Vida dalam perkongsian balasnya mengenai isu itu di laman Instagram memohon diberi ruang untuk menyelesaikan kes itu secara tenang dan profesional.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya mengambil perkara ini dengan serius dan akan memberi sepenuh perhatian terhadap isu yang dibangkitkan.
“Saya telah melantik peguam untuk menasihati dan membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini dengan cara terbaik mengikut lunas undang-undang,” tulisnya yang berada di China.
Selepas aset mewahnya disita, Instagram Datuk Vida diserang warganet, yang rata-rata meluahkan rasa terkejut usahawan yang selama ini sering menayang kemewahan mempunyai hutang berjumlah jutaan ringgit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg