IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas produk makanan ringan popular keropok kulit salmon perisa telur masin menggunakan logo halal tidak sah selepas menyerbu satu premis di Kawasan Perindustrian Jelapang di Ipoh, Perak.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata serbuan pada 11 pagi, 4 Mac itu adalah hasil maklumat awam dan risikan pihaknya berhubung kegiatan memproses makanan produk makanan yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah.
Katanya, semakan awal mendapati logo halal digunakan untuk tujuan perdagangan secara tidak sah.
“Pengurus premis turut gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakui pihak berkuasa apabila diminta.
“Sehubungan itu, tindakan menyita semua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah itu dilakukan. Turut disita dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Menurutnya, keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM88,582 ($25,129).
Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak lebih RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan.
“Produk makanan ringan ini dijual secara dalam talian dan mendapat sambutan ramai pengguna.
“Justeru KPDN menasihati dan menyeru setiap peniaga dan pengusaha supaya mematuhi perundangan yang berkuat kuasa termasuk mendapatkan perakuan halal sah daripada agensi kerajaan,” katanya.
Sementara itu, usahawan Malaysia, Datuk Seri Vida, yang juga pemilik premis perniagaan yang diserbu itu dilaporkan tidak mengetahui tentang serbuan KPDN kerana baru pulang dari luar negara.
“Saya sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk disoal siasat. Takkan saya nak lari pula.
“Buat masa sekarang, saya kena ambil tahu apa sebenarnya yang terjadi. Saya kena baca dulu laporan media berhubung perkara ini,” katanya lapor Kosmo!.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg