Topik diikuti
Pergi ke BHkuGaji pekerja naik, kos majikan bertambah: Siapa akhirnya tanggung beban?
Pengusaha sambut usaha tingkat pendapatan pekerja, namun mahu pengecualian SME diperjelas bagi elak kenaikan harga barangan, kehilangan pekerjaan
Gaji pekerja naik, kos majikan bertambah: Siapa akhirnya tanggung beban?
Golongan majikan di Johor menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 ($471) kepada RM2,000 sebulan sebagai usaha meringankan tekanan kos sara hidup pekerja, khususnya mereka yang menetap di Johor Bahru, antara bandar raya dengan kos sara hidup tinggi di negara itu.
Bagaimanapun, kenaikan yang bakal berkuat kuasa pada Jun 2027 itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengusaha perniagaan mengenai peningkatan kos operasi dan kemungkinan beban tambahan berkenaan dipindahkan kepada pengguna menerusi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Meskipun kerajaan memberikan pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (SME) yang mempunyai hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta, pemain industri mahu mekanisme pelaksanaannya diperjelas bagi memastikan kebajikan pekerja dan kelangsungan perniagaan dapat dilindungi.
Lebih empat juta pekerja dijangka menikmati kenaikan RM300 atau 17.6 peratus itu, manakala kadar gaji permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan siswazah turut diumumkan, dengan perincian pelaksanaannya masih menunggu ketetapan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Tambahan kos RM180,000 setahun
Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM), Encik Muhammed Farhan Basheer, berkata kerajaan perlu mengambil kira kemampuan majikan menyediakan pekerjaan ketika berusaha meningkatkan pendapatan pekerja.
“Kami memahami keperluan meningkatkan pendapatan pekerja bagi menghadapi tekanan kos sara hidup. Namun, kerajaan juga perlu melihat keadaan sebenar yang sedang dihadapi pengusaha industri, khususnya syarikat percetakan Bumiputera.
“Pekerja memerlukan gaji yang bermaruah. Majikan pula memerlukan perniagaan yang mampu bertahan. Jika industri tidak mampu bertahan, peluang pekerjaan juga akan terancam,” katanya.
Encik Muhammed Farhan, yang juga Pengarah Operasi Percetakan Bumi Restu, berkata syarikat percetakan menanggung pelbagai perbelanjaan termasuk mesin, kertas, dakwat, elektrik, penyelenggaraan dan pembiayaan peralatan.
Sebagai contoh, syarikat yang menggajikan 50 pekerja pada kadar gaji minimum perlu menanggung tambahan RM15,000 sebulan atau RM180,000 setahun, belum termasuk peningkatan caruman majikan.
Beliau menggesa kerajaan memperjelas tempoh dan syarat pengecualian SME, selain menyediakan insentif pemodenan mesin, latihan kemahiran dan semakan harga kontrak perolehan kerajaan.
“Dasar gaji yang mampan memerlukan keseimbangan antara kebajikan pekerja, produktiviti dengan keupayaan perniagaan,” katanya.
Bimbang harga barang turut naik
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor, Encik Yazid Khalid, pula berkata kenaikan gaji minimum berpotensi membantu merapatkan jurang antara daya pengeluaran dengan upah pekerja.
Namun, beliau bimbang sebahagian syarikat akan memindahkan kos tambahan kepada pengguna.
“Bagi menampung kos tambahan ini, kita menjangkakan ada syarikat yang mungkin memindahkan beban tersebut kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus mendorong inflasi jangka pendek,” katanya.
Menurut Encik Yazid, kebimbangan itu lebih ketara di Johor Bahru yang sudah berdepan kos makanan dan perumahan tinggi.
Beliau berpandangan segelintir peniaga dan pemaju mengambil kesempatan terhadap kuasa beli warga Singapura yang lebih tinggi untuk menaikkan harga.
Justeru, beliau melihat usaha kerajaan Johor menyediakan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) serta menarik pelaburan melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City sebagai langkah penting meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.
“Kita percaya pelaksanaan dasar ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan pekerja, malah mampu memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat serantau.
“Namun, ia mesti digandingkan dengan langkah kawalan harga, sokongan produktiviti serta insentif kepada syarikat dan SME,” katanya.
SME tetap terima kesan tidak langsung
Bendahari Persatuan Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana Johor, Encik S.C. Tan, berkata pengecualian yang diumumkan tidak semestinya melindungi pengusaha kecil daripada kesan kenaikan gaji.
Beliau yang juga Pengarah Urusan LKT Food Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluaran makanan sejuk beku di Kempas, berkata SME mungkin berdepan kesukaran mendapatkan pekerja apabila syarikat besar mula menawarkan gaji lebih tinggi.
“Kalau gaji naik RM300 seorang, bagi 100 pekerja sahaja sudah menjadi tambahan RM30,000 sebulan.
“Walaupun ada pengecualian, kita belum tahu sampai bila. Apabila syarikat besar sudah menaikkan gaji, kita juga akan menghadapi tekanan kerana lebih susah mendapatkan pekerja,” katanya.
Syarikatnya yang beroperasi hampir 30 tahun kini meningkatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.
“Kita memang sedang bersedia. Kenaikan gaji itu sesuatu yang perlu dihadapi dan bukan boleh dielakkan.
“Kita sedang menggunakan AI dan automasi untuk mengurangkan kos. Kalau tidak, kos perniagaan akan terus meningkat,” katanya.
Pengarah syarikat pengeluaran sos Mamas, Encik P. Poobalan, pula berkata kemampuan syarikat besar dan SME tidak wajar dinilai menggunakan ukuran sama.
“Syarikat besar mempunyai kemampuan kewangan dan skala operasi lebih besar, manakala SME khususnya dalam industri makanan berdepan keuntungan lebih kecil serta kos bahan mentah, pembungkusan, tenaga dan pengangkutan yang tinggi.
“Yang penting, jangan sampai usaha meningkatkan pendapatan pekerja menyebabkan SME mengurangkan tenaga kerja atau menaikkan harga makanan secara mendadak,” katanya.
Pengurus Operasi, Olive Music Cafe, Encik Muhammad Muhaimin Mohamad Aiman, pula berkata pengusaha restoran yang dikecualikan daripada kenaikan gaji masih berisiko menanggung kesan tidak langsung sekiranya pembekal menaikkan harga bahan mentah.
“Kita mungkin tidak terkesan secara langsung kerana hasil jualan belum mencapai RM50 juta. Tetapi kalau pembekal turut berdepan kenaikan kos gaji, ada kemungkinan harga barang yang mereka bekalkan kepada kita akan meningkat.
“Harga barang sekarang pun sudah tinggi. Kita perlu mencari cara untuk terus bertahan dalam keadaan persaingan perniagaan makanan yang semakin sengit,” katanya.
Gaji tinggi mampu tarik pekerja bermutu
Bagaimanapun, pengasas bersama restoran, Made On Monday, Encik Muhammad Jasmin Ismail, 39 tahun, melihat kenaikan gaji minimum sebagai peluang menarik pekerja lebih berkemahiran, khususnya dalam bidang makanan dan minuman.
Menurut beliau, walaupun kos operasi dan caruman majikan akan meningkat, gaji lebih tinggi boleh menjadikan sektor makanan dan minuman lebih menarik sebagai pilihan kerjaya.
“Kalau gaji minimum RM2,000, mungkin lebih ramai orang akan melihat bidang makanan dan minuman sebagai pilihan kerjaya.
“Memang kos kita meningkat, termasuk keperluan menyelaraskan gaji pekerja lama. Tetapi kita juga mungkin mendapat pekerja yang lebih bermutu dan dapat mengurangkan masa latihan,” katanya.
Menurutnya, peningkatan pendapatan pekerja juga boleh merangsang perbelanjaan pengguna, sekali gus membawa manfaat kepada perniagaan.
Namun, pengusaha perlu berunding dengan pembekal, mengawal kos dan meningkatkan jualan supaya harga makanan dapat dikekalkan.
“Kita tidak mahu apabila gaji naik, harga makanan turut naik, kemudian gaji perlu dinaikkan lagi. Perkara itu tidak akan berkesudahan.
“Jadi kita perlu berunding dengan pembekal, mengawal perbelanjaan dan meningkatkan jualan supaya harga makanan boleh dikekalkan,” katanya.
“
“Kalau gaji naik RM300 seorang, bagi 100 pekerja sahaja sudah menjadi tambahan RM30,000 sebulan. Walaupun ada pengecualian, kita belum tahu sampai bila. Apabila syarikat besar sudah menaikkan gaji, kita juga akan menghadapi tekanan kerana lebih susah mendapatkan pekerja... Kita sedang menggunakan AI dan automasi untuk mengurangkan kos. Kalau tidak, kos perniagaan akan terus meningkat.”“
“Kita percaya pelaksanaan dasar ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan pekerja, malah mampu memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat serantau. Namun, ia mesti digandingkan dengan langkah kawalan harga, sokongan produktiviti serta insentif kepada syarikat dan SME.”“
“Kalau gaji minimum RM2,000, mungkin lebih ramai orang akan melihat bidang makanan dan minuman sebagai pilihan kerjaya. Memang kos kita meningkat, termasuk keperluan menyelaraskan gaji pekerja lama. Tetapi kita juga mungkin mendapat pekerja yang lebih berkualiti dan dapat mengurangkan masa latihan.”