Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeroka 6 daya tarikan di JB dan sekitar
Teroka 6 daya tarikan di JB dan sekitar
Selain Kota Jail, kerajaan Johor turut membangun dan menaik taraf beberapa daya tarikan di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya.
Ia termasuk Hutan Bandar yang meliputi kawasan seluas 20 hektar – sekitar 28 padang bola sepak – Danga Park, Taman Merdeka, kawasan Kilometer Sifar Johor Bahru, Zoo Johor dan Kampung Sungai Melayu.
Usaha itu bertujuan mempelbagaikan pilihan pelancongan sempena Tahun Melawat Johor 2026.
1) Hutan Bandar
Hutan Bandar merupakan kawasan rekreasi hijau berhampiran pusat bandar Johor Bahru yang menawarkan suasana nyaman untuk berehat dan beriadah.
Tasik, pepohon rendang dan ruang rekreasinya menyediakan pilihan bagi pengunjung yang mahu menikmati alam semula jadi di tengah bandar.
2) Danga Park
Danga Park, atau Taman Awam Danga di Teluk Danga, dibuka kepada orang ramai pada 29 Mei 2026.
Taman ini menyediakan kawasan permainan kanak-kanak, permainan air dan laluan pejalan kaki bertingkat, sekali gus menambah pilihan kegiatan luar untuk keluarga.
3) Taman Merdeka
Terletak kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar Johor Bahru, Taman Merdeka menggabungkan kemudahan riadah dengan sejarah kemerdekaan Malaysia.
Taman seluas sekitar 12.5 hektar – bersamaan kira-kira 17 padang bola sepak – ini dilengkapi kemudahan tasik, arca, dan laman peringatan untuk pengunjung bersiar-siar sambil menghayati sejarah negara.
4) Kilometer Sifar Johor Bahru
Mercu tanda Kilometer Sifar di Jalan Dato’ Onn sedang diperindah menerusi penambahbaikan pencahayaan, paparan visual dan landskap.
Usaha sempena Tahun Melawat Johor 2026 itu bertujuan menghidupkan ruang pusat bandar dan meningkatkan keselesaan pengunjung sambil mengekalkan identiti serta warisannya.
5) Zoo Johor
Zoo Johor di Jalan Gertak Merah merupakan zoo tertua di Malaysia, dengan sejarah sejak 1928.
Dibuka semula pada 31 Ogos 2024 selepas menjalani kerja naik taraf, taman haiwan seluas 4.73 hektar – kira-kira 6.5 padang bola sepak – ini menawarkan pengalaman mengenali pelbagai haiwan dengan kemudahan dan landskap yang diperbaharui.
6) Kampung Sungai Melayu
Kampung Sungai Melayu di Iskandar Puteri menawarkan pengalaman ekopelancongan melalui perjalanan bot menyusuri sungai serta pengenalan kepada kehidupan masyarakat setempat.
Destinasi ini turut dilengkapi Laman Budaya, gerai jualan, kemudahan jeti dan tempat letak kenderaan bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.