KUALA LUMPUR: Pencinta sejarah dan pelawat yang ingin mengenali lebih dekat kehidupan peribadi serta kepimpinan Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, kini mempunyai sebab istimewa untuk menjejakkan kaki ke Bukit Persekutuan dengan Galeria Sri Perdana dibuka semula kepada orang ramai pada 10 Julai.
Tarikh berkenaan bertepatan dengan ulang tahun ke-100 Dr Mahathir.
Di bawah pengurusan Arkib Negara Malaysia sejak 2000, kediaman rasmi itu bukan sekadar banglo lama di Jalan Terengganu, bahkan ruang warisan yang membolehkan pengunjung merasai sendiri suasana tempat keputusan penting negara dibuat, selain melihat sisi kehidupan keluarga seorang pemimpin negara.
Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman, berkata kerja menaik taraf bernilai RM12.76 juta ($3.84 juta) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 merangkumi pembaikan sistem pendawaian, penyaman udara, pencahayaan, struktur bangunan dan juga taman yang mengelilinginya.
“Usaha ini penting untuk memastikan bangunan ini terus dipelihara bagi generasi akan datang, di samping menghubungkan rakyat Malaysia dengan sejarah, budaya dan pemimpin negara,” katanya dalam majlis pembukaan semula itu.
Kediaman tersebut, yang pernah dikenali sebagai Sri Timah, dahulunya dimiliki Syarikat Malaysia Mining Corporation sebelum diambil alih kerajaan Malaysia untuk dijadikan kediaman rasmi Dr Mahathir dari Ogos 1983 hingga Oktober 1999, sebelum beliau berpindah ke Putrajaya, lapor The Star.
Kini berfungsi sebagai galeri awam dan pusat pelancongan pendidikan, Galeria Sri Perdana menempatkan lebih 3,500 barangan peribadi milik Dr Mahathir – termasuk perabot, dokumen rasmi, pakaian tradisional, kasut, kenderaan serta kelengkapan harian.
Antara ruang paling utama ialah Dewan Tetamu Utama – tempat berlangsungnya kunjungan rasmi, majlis Hari Raya buat anggota keselamatan, sidang media, doa selamat, akad nikah dan cukur jambul cucu-cucu beliau.
Pada Julai 1993, pemimpin pergerakan Palestin, Allahyarham Yasser Arafat, turut disambut secara rasmi di ruang itu.
Menariknya, pengunjung juga dapat melihat ruang peribadi seperti bilik tidur, ruang makan keluarga dan juga ‘kedai gunting rambut’ di tingkat dua – tempat Dr Mahathir menerima khidmat guntingan daripada tukang gunting peribadinya, Encik Mohan Muthupandithan.
Koleksi topi peribadinya yang dipamerkan turut mencuri perhatian dan sering menjadi bahan perbualan pengunjung.
Galeria Sri Perdana dibuka setiap Selasa hingga Ahad, dari 9 pagi hingga 5 petang. Ia ditutup pada hari Isnin, kecuali ketika musim cuti sekolah. Masuk adalah percuma.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg