Gangguan bekalan air tidak terancang yang berlaku sejak 31 Oktober susulan insiden pencemaran di Lembangan Sungai Johor kini pulih sepenuhnya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Menurut beliau, setakat 9 malam 5 November, sebanyak 100 peratus akaun pengguna di semua kawasan terlibat kembali menerima bekalan air seperti biasa.
Terdahulu, beliau telah mengadakan pemantauan keadaan Tangki Utama Impian Emas bagi memastikan usaha kestabilan tekanan bekalan air berjalan lancar.
Pada 3 petang, paras tangki berkenaan direkodkan pada kadar 0.4 meter, iaitu di bawah paras minimum 1 meter yang diperlukan bagi mengembalikan bekalan secara stabil. Kapasiti keseluruhan tangki tersebut adalah 10 juta liter sehari.
“Bagi mengelakkan kekosongan tangki dan memastikan agihan air lebih seimbang, kaedah inline injection telah digunakan dengan menyalurkan bekalan dari lori tangki terus ke sistem agihan utama, terutama di kawasan Taman Bukit Impian dan Impian Emas.
“Langkah ini perlu dilaksanakan kerana peningkatan penggunaan mendadak serta tindakan pengguna menyimpan air secara berlebihan menjejas paras tangki di beberapa kawasan, menyebabkan bekalan tidak setara,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 November.
Insiden pencemaran yang dikesan pada 5.30 pagi, 31 Oktober, telah menyebabkan paras kekeruhan air mentah meningkat secara mendadak melebihi 7,000 unit kekeruhan nefelometrik (NTU), berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Keadaan itu memaksa operasi di beberapa loji rawatan air dihentikan secara berperingkat termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA Tai Hong.
“Gangguan tersebut menjejaskan 292,158 akaun pengguna atau hampir 1.2 juta penduduk merangkumi daerah Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.
“Bagi memastikan bekalan alternatif sampai kepada penduduk, sebanyak 43 lori tangki digerakkan ke lokasi terjejas setiap hari.
“Bantuan tambahan turut diterima daripada Syarikat Air Melaka dan Syarikat Air Negeri Sembilan,” jelasnya.
Air mineral turut diedarkan ke kawasan berkepadatan penduduk tinggi termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, PPR Rawa, PPR Sungai Tiram, PPR Kempas Permai dan PPR Sri Stulang.
Encik Fazli berkata kawasan yang berada di penghujung sistem paip mengambil masa lebih lama untuk pulih sepenuhnya kerana tekanan air mengambil masa untuk stabil, namun langkah penyuntikan bekalan terus ke jajaran paip telah membantu mempercepatkan proses normalisasi.
Tambahnya, kejayaan pemulihan tersebut adalah hasil tindakan bersepadu antara kerajaan Johor, Ranhill SAJ, Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) serta beberapa agensi lain yang terlibat secara langsung dalam operasi kawalan dan pemulihan sumber air.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg