Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor dijangka sumbang 60% kapasiti pusat data M’sia jelang 2030

Jun 12, 2025 | 1:04 PM
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Johor, pusat data, data centre
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - Foto FACEBOOK TENGKU ZAFRUL

Johor dijangka menyumbang 60 peratus daripada kapasiti keseluruhan pusat data Malaysia menjelang 2030.

Ini sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai hab digital utama Asia Tenggara.

Perkara itu diumumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, semasa majlis menandatangani perjanjian pembiayaan bersepadu dan skim bekalan tenaga boleh diperbaharui korporat (Cress) DayOne Data Centres pada 11 Jun.

Beliau berkata lonjakan pelaburan ke Johor, khususnya melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), telah mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital serta pengukuhan rantaian bekalan serantau dan global.

“Johor bukan sahaja mengikuti rentak, malah kini menetapkan arah baru untuk cita-cita digital rantau ini,” katanya dalam ucapan perasmian.

Menurutnya, pada suku pertama 2025 sahaja, Johor menarik lebih RM30 bilion ($9.14 bilion) pelaburan dengan hampir 90 peratus daripadanya tertumpu kepada infrastruktur digital, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap dasar negara yang jelas dan kukuh.

Majlis turut menyaksikan DayOne Data Centres melengkapkan pembiayaan pelbagai mata wang bernilai RM15 billion, termasuk RM7.5 bilion pembiayaan berasaskan Murabahah dan pinjaman luar pesisir bernilai AS$1.7 bilion.

Antara institusi kewangan yang terlibat ialah CIMB, Crédit Agricole, DBS, Maybank, OCBC, Standard Chartered dan UOB.

Skim Cress membolehkan pusat data berskala besar mendapatkan bekalan tenaga boleh diperbaharui secara langsung daripada pengeluar seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

DayOne telah memperoleh sehingga 500 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui daripada TNB bagi menyokong operasi mereka.

“Langkah ini penting bagi mencapai sasaran tenaga boleh baru 70 peratus dalam campuran penjanaan tenaga negara menjelang 2050,” ujar Tengku Zafrul.

Beliau turut menekankan bahawa ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang lebih 25 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pada 2025.

Menjelang 2030, pelaburan dalam sektor digital diramal merangsang hampir RM400 bilion GDP kumulatif.

“Pembangunan pusat data bukan sekadar pelaburan infrastruktur; ia membuka peluang pekerjaan, memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana serta mempercepat kemajuan penyelidikan kecerdasan buatan, e-kesihatan dan perkhidmatan digital lain,” katanya.

Menurutnya lagi, Malaysia sedang giat melaksanakan inisiatif pembangunan bakat seperti Hab Inovasi AI Nasional dan Bina AI Malaysia bagi memperkasa lebih 800,000 rakyat menjelang 2030, termasuk pelaksanaan Fakulti AI pertama di Universiti Teknologi Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg