Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gegaran gempa sekuat 3.2 dikesan di Segamat, tiada kerosakan dilapor

Aug 27, 2025 | 1:34 PM
Gegaran lemah, Segamat, Johor
Pegawai Daerah Segamat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat, Encik Mohd Ezzuddin Sanusi. - Foto FACEBOOK PEJABAT DAERAH SEGAMAT

Satu gempa bumi sekuat 3.2 mengikut skala Richter dilaporkan berlaku di daerah Segamat pada pagi 27 Ogos, mencetuskan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor dan selatan Pahang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya berkata kejadian berlaku pada 8.59 pagi, 27 Ogos 2025, dengan magnitud 3.2 pada kedalaman 10 kilometer.

Pusat gegaran dikesan pada koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur, iaitu kira-kira 18 kilometer selatan Segamat.

Menurut MetMalaysia, kejadian itu berlaku di Zon Sesar Mersing dan merupakan gempa susulan daripada kejadian pada 24 Ogos yang turut melibatkan gegaran di Segamat dan Yong Peng.

Walaupun gegaran dirasai sebahagian penduduk, agensi tersebut menegaskan bahawa ia adalah pada tahap lemah dan tidak berbahaya.

“MetMalaysia akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa. Orang ramai tidak perlu bimbang kerana kejadian ini tidak memberi ancaman besar.

“Dapatkan maklumat sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca dan media sosial jabatan,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat melalui Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi, berkata pihaknya telah menggerakkan pemantauan lanjut bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Sehingga kini, tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan atau kemalangan jiwa diterima.

“Pihak berkuasa keselamatan dan agensi terlibat sedang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan keadaan terkawal.

“Orang ramai diminta bertenang, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, serta melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau menasihatkan masyarakat supaya merujuk perkembangan terkini hanya melalui saluran rasmi kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

Kejadian itu berlaku hanya tiga hari selepas dua gegaran lemah dikesan pada 24 Ogos lalu di Johor.

Pada hari tersebut, MetMalaysia melaporkan gempa bumi bermagnitud 4.1 di Segamat pada 6.13 pagi, diikuti gegaran susulan sekuat 2.8 menurut skala Richter yang direkodkan sekitar 9 pagi berhampiran Yong Peng, kira-kira 28 kilometer barat laut Kluang.

Kedua-dua kejadian tersebut berpunca daripada kegiatan di Zon Sesar Mersing dan turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.

Susulan kejadian 24 Ogos, kerajaan negeri Johor mengaktifkan mesyuarat khas Jawatankuasa Khas Kejadian Gegaran yang dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Ismail Abu, bersama Pegawai Daerah Segamat dan Kluang.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk langkah kesiapsiagaan agensi serta pemantauan terhadap struktur awam seperti jambatan, jalan raya dan empangan.

Malah, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran turut mengesahkan tiada kesan kerosakan pada prasarana utama termasuk Empangan Bekok dan Empangan Sembrong.

Pemeriksaan lanjut juga dilakukan bagi memastikan keselamatan berterusan.

Kerajaan negeri dan agensi berkaitan terus mengingatkan orang ramai agar tidak panik, menjauhi struktur yang lemah serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian susulan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg