Elemen pengesanan dan amaran bencana dijangka menjadi sebahagian daripada petunjuk pembangunan Bandar Pintar Johor pada masa hadapan, susulan kejadian gempa bumi tahap rendah di Segamat dan Yong Peng pada 24 Ogos.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan sistem amaran awal melalui telefon pintar yang membolehkan penduduk dalam radius tertentu menerima mesej kecemasan jika berlaku bencana.
“Sistem seperti ini sudah diguna pakai di Jepun dan Korea Selatan. Contohnya, jika berlaku kemalangan, kebakaran atau bencana, semua pengguna telefon dalam kawasan tertentu akan menerima makluman untuk berhati-hati atau mengubah laluan mereka.
“Johor mahu membawa elemen ini dalam indikator Bandar Pintar, mungkin bermula di peringkat Tahap 3 dan 4,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan penganjuran Johor Smart City Forum (JSCF) 2025 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 September dengan penyertaan lebih 40 pempamer termasuk syarikat industri dan wakil negara anggota Asean.
Menurut Datuk Mohd Jafni, Johor kini mempunyai 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam pelaksanaan konsep Bandar Pintar, dengan tujuh PBT berada di Tahap 1 (penerima awal) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Tahap 2.
“Walaupun Malaysia terletak di kawasan tektonik yang stabil, kejadian gempa bumi lemah di Segamat semalam (24 Ogos) membuktikan kita memerlukan sistem pemantauan dan amaran yang lebih baik. Jika perlu, peralatan tambahan akan dipasang di kawasan berisiko untuk memastikan keselamatan penduduk,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 berlaku di Segamat pada 6.13 pagi, 24 Ogos, dengan kedalaman 10 kilometer, kira-kira lima kilometer di barat Segamat.
Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan lain termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang, dan dikesan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia.
Gempa bumi susulan bermagnitud 2.8 direkodkan pada 9 pagi di Yong Peng, kira-kira 28 kilometer di barat laut Kluang, dengan kedua-dua kejadian berpunca daripada aktiviti di Zon Sesar Mersing.
Datuk Mohd Jafni berkata kerajaan Johor akan terus memantau keadaan dan bersedia mengambil langkah tambahan termasuk memperkenalkan sistem pengesanan bencana melalui platform pintar bagi memastikan keselamatan dan keyakinan rakyat sentiasa terpelihara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg