Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gempa di Johor: Bunyi macam kereta kemalangan atas atap

Penduduk kampung di Segamat ceritakan detik cemas ketika bumi bergegar
Aug 25, 2025 | 6:08 PM
Malaysia, Johor, Segamat, gempa bumi, rekahan, rumah, Kampung Tonjos, Norjihan Selamat
Cik Norjihan Selamat, 28 tahun, menunjukkan rekahan yang ‘membelah’ rumahnya di Kampung Tonjos, Segamat, selepas gempa bumi dengan magnitud 4.1 berlaku di daerah itu pada 24 Ogos. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Bunyi macam kereta kemalangan atas atap.”

Begitu gambaran Cik Norjihan Selamat, 28 tahun, ketika mengimbau pengalaman mengejutkan awal pagi 24 Ogos apabila Kampung Tonjos, Segamat, digegarkan gempa bumi dengan magnitud 4.1.

Cik Norjihan, yang baru bangun bersama anak lelakinya berusia tujuh tahun, berkata gegaran itu berlaku secara tiba-tiba sehingga menyebabkan bumbung rumahnya bergoncang.

“Saya ingat ada kereta berlanggar depan dan atas rumah. Tapi pelik bila tengok luar, jalan lengang. Ibu di rumah sebelah pun terkejut, dia sangka ada kemalangan sebab bunyinya memang macam kereta berdentum,” katanya, sambil memaklumkan beberapa bahagian dinding rumahnya yang baru diduduki selepas Aidilfitri 2025 mengalami rekahan.

Bagi keluarga lain di Kampung Tonjos, kejadian itu turut meninggalkan kesan mendalam.

Cik Mardhiah Irazha Akmal Wb Rahman, 41 tahun, yang ketika itu berada di Mersing bersama suami untuk menghadiri satu program, menerima panggilan cemas daripada anak-anaknya di rumah.

“Mereka bangun lebih awal dan tiba-tiba dengar bunyi kuat seakan letupan. Mereka segera hubungi saya, kami terus balik. Bila sampai, nampak rekahan besar di bucu-bucu rumah. Kos membaiki saya anggarkan sekitar RM6,000 ($1,835). Saya risau kalau gegaran ini berulang,” katanya.

Cik Mardhiah Irazha Akmal Wb Rahman, 41 tahun, menunjukkan salah satu daripada lapan rekahan besar di dalam dan luar rumahnya, selepas gempa bumi dengan magnitud 4.1 berlaku di Segamat, Johor, pada 24 Ogos.
Cik Mardhiah Irazha Akmal Wb Rahman, 41 tahun, menunjukkan salah satu daripada lapan rekahan besar di dalam dan luar rumahnya, selepas gempa bumi dengan magnitud 4.1 berlaku di Segamat, Johor, pada 24 Ogos. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Tidak jauh dari situ, seorang penduduk Kampung Tengah, Encik Azman Alidin, 44 tahun, anggota Jabatan Pertahanan Awam, berkata beliau terkejut melihat kesan gegaran sebaik pulang ke rumah sewanya selepas kejadian.

“Pada 6 pagi saya sampai, mula-mula ingat bunyi guruh. Tapi bila masuk rumah, nampak banyak rekahan panjang. Saya terus lapor kepada pemilik rumah dan polis,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, Encik Anuar Abd Manap, menegaskan walaupun gegaran itu lemah, ia harus dianggap amaran awal yang wajar diambil serius.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, Encik Anuar Abd Manap.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, Encik Anuar Abd Manap. - Foto ihsan ANUAR ABD MANAP

“Kita jarang mengalami gegaran di Segamat dan kawasan sekitarnya. Ini petanda bahawa kesiapsiagaan masyarakat penting.

“Kerajaan negeri akan meneliti langkah terbaik, termasuk pendidikan, sistem amaran awal dan latihan kecemasan supaya orang ramai tahu apa yang perlu dibuat jika bencana berlaku,” katanya, sambil menambah bahawa perbincangan dengan negara lain yang berpengalaman menangani gempa boleh dipertimbangkan.

Timbalan Presiden Persatuan Keluli Struktur Malaysia (MSSA) dan Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Azlan Adnan, menjelaskan fenomena itu mungkin diikuti gegaran susulan, seperti yang direkodkan di Kluang dengan magnitud 2.9.

“Biasanya gegaran susulan kecil, ramai pun tidak rasa. Tapi kita kena faham, kerak bumi sedang melepaskan tekanan. Kalau gempa 4.1 ini foreshock (kejutan depan), gempa lebih besar boleh menyusul.

Timbalan Presiden Persatuan Keluli Struktur Malaysia (MSSA) dan Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Azlan Adnan.
Timbalan Presiden Persatuan Keluli Struktur Malaysia (MSSA) dan Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Azlan Adnan. - Foto ihsan AZLAN ADNAN

“Johor jauh dari lingkaran gunung berapi, tapi kita berada di atas kerak bumi yang ada sesar (geseran) lama. Bila ada pergerakan kuat dari Sumatera, tekanan boleh sampai ke sini,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai rangkaian stesen seismograf yang dikelola Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), namun sistem amaran awal seperti di Jepun belum ada.

“Buat masa ini, maklumat gegaran dikeluarkan pantas melalui pesanan ringkas dan aplikasi. Yang penting, masyarakat tahu langkah asas keselamatan: jika di dalam bangunan, duduk, lindung kepala, dan pegang. Jika di luar, jauhi bangunan dan tiang. Jangan guna lif, keluar dengan tenang selepas gegaran reda,” katanya.

Dr Azlan turut mengingatkan bahawa faktor pembangunan dan keadaan tanah boleh mempengaruhi kesan gegaran.

“Kawasan berbukit yang ditarah atau tanah lemah boleh memperbesar kesan gegaran walaupun pusat gempa jauh,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg