Satu gegaran lemah berukuran magnitud 2.7 dilaporkan berlaku di daerah Segamat pada 7.55 malam 3 November, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 3 November, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi itu berpusat di Jementah, Segamat, Johor, pada kedalaman 10 kilometer.
“Gempa bumi lemah ini berlaku kira-kira 3 kilometer di barat Segamat, Johor, dan gegaran turut dirasai oleh penduduk di sekitar Segamat serta kawasan berhampiran,” katanya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat melalui Pejabat Daerah Segamat turut mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan tiada laporan mengenai kerosakan harta benda, kecederaan atau kehilangan nyawa diterima setakat ini.
“Agensi keselamatan dan pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan pemantauan lanjut di lokasi bagi memastikan keadaan berada dalam tahap selamat,” lapor kenyataan JPBD itu.
JPBD Segamat dalam masa sama menasihatkan penduduk agar bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.
Orang ramai juga digalakkan agar mendapatkan perkembangan terkini hanya daripada sumber rasmi seperti MetMalaysia dan agensi kerajaan berkaitan.
Kenyataan itu turut memberi jaminan sebarang maklumat baru akan disalurkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di daerah berkenaan terus terpelihara.
Ini bukan kali pertama daerah Segamat dilanda gegaran.
Terdahulu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, 27 Ogos (3.2); 7.56 malam, 28 Ogos (2.5); 4.24 pagi, 29 Ogos (3.4) dan 7.29 pagi 30 Ogos (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.
Dua gegaran turut direkodkan di Semerah dan Sri Medan, Batu Pahat, pada 31 Ogos dengan magnitud 3.0 dan 3 September dengan magnitud 2.9.
Walaupun gegaran itu berskala kecil, kerajaan negeri menegaskan kejadian itu wajar ditangani secara serius kerana menimbulkan keresahan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg