Kerajaan Johor melalui Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana akan memperkukuh kesiapsiagaan negeri menghadapi bencana gempa bumi serta monsun timur laut dengan melaksanakan beberapa ketetapan penting.
Pengerusi Jawatankuasa tersebut, Encik Anuar Abd Manap, berkata mesyuarat khas yang diadakan pada 8 September telah menerima taklimat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jawatankuasa Bencana Negeri, sebelum merumuskan cadangan tindakan menyeluruh.
“Antara perkara utama yang kita cadangkan ialah supaya kerajaan negeri berbincang dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) untuk memetakan semula kawasan yang dikenal pasti mempunyai sesar gegaran. Ini penting supaya kita ada gambaran jelas lokasi berisiko,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan Johor juga akan memberi tumpuan menaik taraf peralatan pengesanan dan pengukuran gegaran yang dimiliki MetMalaysia.
“Peralatan sedia ada perlu diperkasa. Dengan peningkatan kemampuan teknikal ini, kita boleh mengesan gegaran lebih awal dan bertindak segera,” ujarnya.
Encik Anuar turut menekankan kepentingan penyampaian maklumat tepat kepada masyarakat melalui media.
“Media ini penting. Kalau salah diberi maklumat, masyarakat boleh panik. Sebagai contoh, ada yang bertanya sama ada rakyat Johor perlu berpindah sekiranya berlaku gempa.
“Hakikatnya, gempa bumi tidak boleh dielak, yang boleh kita buat ialah tingkatkan kesiapsiagaan dan pemahaman,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Selain isu gempa bumi, Encik Anuar turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan tambahan RM100,000 ($30,464) kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai persediaan awal menghadapi monsun timur laut.
“Monsun ini membawa dua cabaran, angin ribut dan banjir. Kita bimbang banjir termenung dan banjir besar. Dengan peruntukan ini, Adun boleh mula melaksanakan persediaan di kawasan masing-masing lebih awal,” katanya.
Menurutnya, jawatankuasa juga akan mengadakan mesyuarat khas berhubung monsun timur laut bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status projek tebatan banjir, kemudahan infrastruktur serta pembinaan pusat pemindahan sementara dan kekal.
“Contohnya, Pusat Pemindahan Kekal di Seri Medan, Batu Pahat, kini masih dalam pembinaan di bawah Kementerian Pendidikan. Kita akan minta kemas kini status supaya ia benar-benar siap dan berfungsi semasa banjir besar,” katanya.
Ketetapan itu turut menyarankan pelaksanaan latihan simulasi secara berkala melibatkan agensi keselamatan, sukarelawan dan kepimpinan tempatan. Latihan di negara yang kerap berdepan gempa bumi dan tsunami juga disyorkan agar anggota berkenaan dapat menimba pengalaman serta kepakaran.
Selain itu, kempen kesedaran awam akan diperluaskan meliputi suri rumah, kanak-kanak dan golongan rentan, dengan tujuan membina kefahaman masyarakat tentang tindakan sewajarnya apabila berlaku bencana.
“Ini bukan soal bencana semata-mata, tetapi soal kesiapsiagaan menyeluruh. Dengan ketetapan ini, Johor menunjukkan iltizam untuk melindungi nyawa, harta benda dan kelangsungan perkhidmatan asas rakyat,” kata Encik Anuar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg