Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 negeri di M’sia terdedah ancaman gempa bumi

Oct 7, 2025 | 2:07 PM
Penduduk di Jalan Buloh Kasap, Batu 2, Segamat, di Johor, menunjukkan kemunculan rekahan tanah di kawasan kebun di bahagian belakang rumah yang dipercayai berpunca daripada gegaran gempa bumi yang melanda Johor sejak 24 Ogos lalu dan menimbulkan kebimbangan keselamatan.
Penduduk di Jalan Buloh Kasap, Batu 2, Segamat, di Johor, menunjukkan kemunculan rekahan tanah di kawasan kebun di bahagian belakang rumah yang dipercayai berpunca daripada gegaran gempa bumi yang melanda Johor sejak 24 Ogos lalu dan menimbulkan kebimbangan keselamatan. - Foto fail BH

KUALA LUMPUR: Enam negeri di Malaysia iaitu Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan Sabah dan Sarawak, dikenal pasti sebagai kawasan yang terdedah kepada ancaman gempa bumi.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Datuk Seri Huang Tiong Sii, berkata kajian pemetaan sesar aktif Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Peta Seismotektonik Malaysia mendapati zon sesar di enam negeri itu, dikenal pasti terdedah kepada ancaman bencana alam tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata kemas kini Peta Bahaya Seismik Malaysia yang diterbitkan oleh JMG dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan dan agensi teknikal berkaitan kini sedang dilaksanakan.

“Kemas kini Peta Bahaya Seismik Malaysia mengambil kira maklumat terkini seperti kejadian gempa bumi yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini, kewujudan sesar aktif bahan geologi dan maklumat siasatan tanah.

“Kejadian gempa bumi di Segamat dan Batu Pahat di Johor adalah satu proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar-sesar kuno bagi menstabilkan semula kerak bumi.

“Ini dipengaruhi oleh lanjutan zon Sesar Mersing iaitu sistem sesar utama di Johor Timur…berdasarkan data sedia ada dan terbaru, Segamat khususnya dan Johor amnya masih berada dalam zon selamat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 6 Oktober, lapor Harian Metro.

Datuk Huang menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Seri Gading (Johor), Encik Aminolhuda Hassan (Pakatan Harapan), mengenai kajian saintifik MetMalaysia dan JMG untuk mengesan punca berlakunya gegaran berulang di Segamat dan Batu Pahat serta lokasi lain yang berisiko berdepan fenomena sama pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Datuk Huang berkata MetMalaysia dan JMG bekerjasama memantau aktiviti gempa bumi di Malaysia bagi memastikan sistem amaran dan tindak balas bencana berfungsi dengan lebih berkesan.

“Bagi tujuan ini, MetMalaysia akan melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Projek itu merangkumi pengukuhan 12 stesen seismik di seluruh negara termasuk pembinaan dua stesen baru di Segamat dan Muar, Johor, serta menaik taraf empat stesen sedia ada di Johor Bahru, Batu Pahat dan Gelang Patah daripada jenis strong to weak motion (gerakan kuat ke lemah) untuk mengesan gegaran bermagnitud lemah,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Huang berkata berdasarkan kajian kumpulan kerja pakar seismometrik yang terdiri daripada agensi teknikal, penyelidik dan badan profesional di bawah Jawatankuasa Tindakan Gempa Bumi yang diketuai JMG, tahap maksimum gempa bumi yang boleh dijangka di Segamat dan Batu Pahat adalah pada skala sederhana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg