Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gegaran Segamat, Kluang bukti sesar Mersing masih aktif

Aug 30, 2025 | 5:30 AM
Pakar geologi dari Fakulti Kejuruteraan Awam Dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr Aziman Madun.
Pakar geologi dari Fakulti Kejuruteraan Awam Dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr Aziman Madun. - Foto ihsan AZIMAN MADUN

Kejadian gempa bumi yang berlaku pada 24 Ogos sehingga dirasai di Segamat dan Kluang, Johor, menjadi peringatan bahawa Semenanjung Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman geologi walaupun ia amat jarang berlaku.

Pada hari tersebut, sekitar 6.13 pagi, gempa bumi berskala 4.1 magnitud berlaku dengan pusatnya terletak kira-kira 5 kilometer di barat Segamat pada kedalaman 10 kilometer. Gegaran itu bukan sahaja dirasakan di Johor, malah sampai ke Negeri Sembilan, Melaka dan selatan Pahang.

Tidak lama selepas itu, pada 9 pagi, satu lagi gegaran susulan berukuran 2.8 magnitud berpusat di Yong Peng, sekitar 28 kilometer barat laut Kluang.

Menurut pakar geologi dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr Aziman Madun, kejadian itu dipercayai berpunca daripada pelepasan tegasan tektonik pada jalur sesar (fault) lama yang melalui kawasan tersebut.

“Gempa di Segamat secara teori berpunca daripada pengaktifan semula sesar yang sudah lama wujud. Jika gegaran berulang dalam jangka masa panjang, ia memberi petunjuk bahawa sesar itu masih aktif,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Rekod menunjukkan bahawa kejadian gempa bumi berskala lebih daripada 4 hanya berlaku beberapa kali dalam tempoh lebih 100 tahun di Semenanjung Malaysia.

Antara yang pernah direkodkan ialah gempa 5.4 magnitud di Johor pada 1922 yang menyebabkan kerosakan ringan, dan terbaru gegaran sederhana kuat di Segamat pada 24 Ogos.

Selain itu, siri gegaran kecil turut dikesan di Bukit Tinggi, Pahang, antara 2007 hingga 2008, serta di Tasik Kenyir, Terengganu, pada 2010.

Profesor Aziman menjelaskan bahawa walaupun Semenanjung Malaysia tidak berada dalam zon seismik aktif seperti Sumatera atau Filipina, kewujudan sesar lama tetap berpotensi mencetuskan gegaran sederhana.

Tiga hari selepas kejadian pertama, pada 27 Ogos, satu lagi gegaran susulan berukuran 3.2 magnitud dikesan kira-kira 18 kilometer di selatan Segamat.

Pakar menjelaskan bahawa gegaran susulan seperti ini adalah perkara biasa selepas sesuatu gempa bumi kerana kerak bumi mengambil masa untuk kembali stabil.

“Dari sudut saintifik, kemungkinan berlakunya gempa dengan magnitud sekitar 5 tidak boleh ditolak. Namun, magnitud ini jauh lebih kecil berbanding gegaran di kawasan sempadan plat tektonik aktif seperti Sumatera atau Jepun yang boleh mencecah magnitud 8 hingga 9,” jelas Profesor Aziman.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak panik tetapi sentiasa berwaspada.

“Gempa yang berlaku di Segamat ini berskala kecil dan risiko kerosakan besar adalah rendah. Namun, ia mengingatkan kita bahawa gempa boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Masyarakat perlu peka terhadap langkah keselamatan asas, mematuhi piawaian rekabentuk bangunan, dan hanya merujuk kepada maklumat daripada agensi rasmi,” katanya.

Profesor Aziman turut menekankan bahawa kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa perlu memperkukuh sistem pemantauan sesar serta meningkatkan kesedaran masyarakat melalui latihan kesiapsiagaan.

“Bersedia secara kolektif adalah kunci utama. Keluarga, sekolah dan agensi berkaitan perlu bekerjasama membina ketahanan bersama supaya kita lebih cekap menghadapi sebarang kemungkinan,” nasihatnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg