ISKANDAR PUTERI (Johor): Tiada laporan diterima berhubung sebarang kerosakan berkaitan kemudahan saluran paip gas syarikat Petronas Gas Berhad (PGB) bawah tanah susulan gegaran gempa bumi ketiga yang berlaku di Segamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata keadaan saluran paip gas syarikat menjadi kebimbangan penduduk sekitar apabila berlakunya gegaran di kawasan berkenaan.
Beliau berkata pihaknya juga sedang menunggu laporan penuh daripada agensi berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung insiden gegaran itu sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk sebarang tindakan lanjut diputuskan.
“Kita faham, paip Petronas ini turut menjadi kerisauan penduduk, tetapi buat masa ini, kita tidak terima laporan daripada Petronas bahawa berlaku pergerakan struktur paip gas.
“Di bawah portfolio saya, kita tidak ada alat untuk mengesan pergerakan tanah. Kita pantau guna teknologi sedia ada sahaja, sebab itu kita perlukan bantuan MetMalaysia,” katanya selepas Majlis Pelancaran Inovasi Pembaikan Terkini Jalan Negeri Johor pada 28 Ogos.
Encik Mohamad Fazli berkata setakat ini, pemeriksaan yang dijalankan terhadap jalan raya, jambatan, empangan dan aset kerajaan di bawah portfolionya tidak menunjukkan sebarang kerosakan.
“Bangunan atau aset ini banyak jenis, kalau di bawah portfolio saya, seperti bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan raya, jambatan dan empangan, setakat ini tiada kerosakan. Mungkin ada keretakan sedikit, tetapi tidak membabitkan struktur.
“Untuk bangunan dan aset lain seperti sekolah dan hospital, itu kita kena tunggu laporan daripada agensi berkaitan,” katanya lapor Harian Metro.
Pada 27 Ogos, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi berukuran 3.2 magnitud berlaku di Segamat pada 8.59 pagi, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di Johor dan selatan Pahang.
Gegaran itu susulan kepada gempa bumi lemah yang berlaku pada 24 Ogos, membabitkan dua kejadian masing-masing berukuran magnitud 4.1 di Segamat pada 6.13 pagi dan 2.8 di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang pada 9 pagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg