Semua prasarana jalan raya, jambatan dan empangan di sekitar Segamat, Johor, disahkan selamat selepas gempa bumi yang direkodkan pada pagi 24 Ogos.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kejadian itu direkodkan pada 6.13 pagi, kira-kira lima kilometer di barat Segamat sekuat 4.1 mengikut skala Richter pada kedalaman 10 kilometer.
Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan lain termasuk Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan selatan Pahang.
Beliau berkata pemantauan awal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan sekitar pusat gegaran mendapati semua prasarana berada dalam keadaan baik.
“Pemeriksaan ke atas jalan negeri dan jalan persekutuan menunjukkan kesemua jambatan dan jejantas tidak terjejas.
“Begitu juga dengan Empangan Bekok di Segamat, Empangan Sembrong di Batu Pahat dan Empangan Machap di Kluang yang disahkan terkawal dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Ogos.
Encik Mohamad Fazli menegaskan bahawa kerajaan Johor akan meneruskan pemantauan rapi bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.
JKR Johor akan terus melakukan pemeriksaan berkala terhadap semua jambatan, jejantas dan jalan raya, manakala JPS Johor akan memastikan tahap keselamatan empangan kekal terkawal.
Jika terdapat sebarang kesan atau kerosakan struktur, pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera.
Beliau turut menasihati orang ramai agar merujuk kepada saluran rasmi agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat tepat dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih.
“Keselamatan rakyat Johor adalah keutamaan kami dan kerajaan negeri akan memastikan setiap langkah diambil untuk melindungi kepentingan orang awam,” katanya.
Terdahulu, satu gempa bumi berlaku di kawasan Segamat pada pagi 24 Ogos, sebelum satu lagi gempa bumi susulan sekuat 2.8 mengikut skala Richter turut direkodkan pada 9 pagi di kawasan Yong Peng, iaitu kira-kira 28 kilometer di barat laut Kluang.
Analisis mendapati kedua-dua kejadian berpunca daripada kegiatan di Zon Sesar Mersing.
Gegaran yang berlaku turut dikesan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa diterima.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada 24 Ogos berkata kerajaan Johor menasihati orang ramai supaya menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.
Menurutnya, beliau telah berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat, Encik Mohd Ezzuddin Sanusi, dan dimaklumkan bahawa tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan setakat ini.
Datuk Onn Hafiz turut mengajak rakyat sama-sama berdoa agar Johor dan seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg