BATU PAHAT (Johor): Satu lagi gempa bumi lemah direkodkan berlaku di Sri Medan, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, pada 6.39 petang pada 3 September.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman web memberitahu, gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 berlaku kira-kira 10 kilometer dari barat daya Yong Peng.
Menurut MetMalaysia, gempa itu berpusat pada koordinat 1.95 darjah utara, 102.9 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer.
Gempa bumi lemah itu merekodkan gegaran kelapan sejak kejadian pertama berlaku di Segamat pada 24 Ogos.
Terdahulu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, 27 Ogos (3.2); 7.56 malam, 28 Ogos (2.5); 4.24 pagi, 29 Ogos (3.4) dan 7.29 pagi 30 Ogos (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8, lapor Kosmo!.
Sementara gegaran bermagnitud 3.0 dikatakan berlaku di Semerah, Batu Pahat, sekitar 1.57 petang 31 Ogos, menurut mesej pemberitahuan dalam Google.
Terdahulu, MetMalaysia dalam satu kenyataan pada 28 Ogos memaklumkan berdasarkan analisis, kejadian gempa bumi ini berlaku di Zon Sesar Mersing dan merupakan gempa susulan ketiga sejak berlakunya gempa utama pada 24 Ogos 2025.
“MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa. Orang ramai tidak perlu bimbang kerana gempa bumi yang berlaku adalah pada magnitud lemah.
“Sila dapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih MyCuaca dan media sosial rasmi Jabatan serta menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg