Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

KLCC, Merdeka 118 dibina dengan ambil kira risiko gempa bumi

Sep 3, 2025 | 1:07 PM
gempa, KLCC, Merdeka 118
Menara Berkembar Petronas (KLCC) (kiri) dan Merdeka 118 (kanan) dibangunkan dengan memenuhi piawaian antarabangsa. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Bangunan pencakar langit Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Merdeka 118 direka bentuk mengikut piawaian antarabangsa yang mengambil kira faktor daya serta bersesuaian berdepan risiko di rantau ini, termasuk kemungkinan gempa bumi.

Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Teknologi dan Bisnes Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Encik Rofizlan Ahmad, berkata perkara itu diambil kira walaupun Malaysia tidak berada di zon gempa bumi utama.

Sebagai contoh, katanya, bangunan KLCC menggunakan sistem jambatan gantung dua tingkat yang berfungsi menyalurkan daya kedua-dua menara sekiranya berlaku gegaran, manakala asas cerucuk dalam pula berperanan menstabilkan struktur.

“Bagi bangunan Merdeka 118 pula, ia dibangunkan dengan teknologi lebih moden menggunakan sistem struktur bangunan tinggi yang menghubungkan teras utama bangunan dengan tiang luar, selain penggunaan bahan berprestasi tinggi bagi membolehkannya menahan angin kencang dan gegaran sederhana,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Kejadian gempa bumi dengan gegaran sekuat 3.2 pada skala Richter yang dilaporkan berlaku di Segamat, Johor, pada pagi 27 Ogos lalu, selepas kejadian pertama di kawasan sama direkodkan pada 23 Ogos, berkekuatan magnitud 4.1 menimbulkan persoalan mengenai daya ketahanan bangunan pencakar langit di Malaysia terutama KLCC dan Merdeka 118.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya berkata pusat gempa yang berlaku itu terletak 18 kilometer di selatan Segamat pada kedalaman 10 kilometer (km).

Bagaimanapun, kejadian gempa bumi dengan kekuatan 3.4 mengikut skala Richter dilaporkan berlaku lagi awal pagi 29 Ogos di Segamat dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Johor, menjadikannya kejadian keempat selepas kejadian ketiga pada 28 Ogos, direkodkan di daerah itu setakat ini.

MetMalaysia berkata, kejadian gempa pada 4.24 pagi itu berpusat di koordinat 2.7° Utara dan 102.9° Timur, kira-kira 22 kilometer timur laut dari Segamat, dengan kedalaman 10 kilometer.

Sebelum ini BHM melaporkan kebanyakan bangunan kerajaan yang dibina selepas 2019 mengguna pakai ciri tahan gempa bumi.

Ia berikutan penguatkuasaan Malaysian Annex Standard untuk reka bentuk seismik yang diterbitkan pada 2017 dan diluluskan secara rasmi pada 2019, iaitu dokumen tambahan kepada piawaian antarabangsa yang digunakan di Malaysia termasuk reka bentuk struktur tahan gempa.

Ini kerana bangunan lama di Malaysia tidak direka untuk menahan gegaran, namun selepas kejadian gempa bumi di Ranau, Sabah, pada 2015, pihak berkuasa mula memberi perhatian terhadap keselamatan seismik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg