Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gempa bumi di Johor mungkin berlaku di Zon Sesar Mersing

Sep 2, 2025 | 3:00 PM
Gempa di Johor, sesar Mersing
Penduduk di Jalan Buloh Kasap, Batu 2, Segamat, di Johor, menunjukkan kemunculan rekahan tanah di kawasan kebun di bahagian belakang rumah yang dipercayai berpunca daripada gegaran gempa bumi yang melanda Johor sejak 24 Ogos lalu dan menimbulkan kebimbangan keselamatan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan kesemua kejadian gempa bumi di Johor berkemungkinan berlaku di Zon Sesar Mersing di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata gegaran yang berlaku di Johor adalah gempa bumi lemah dan dijangka tidak memberi impak besar.

Beliau berkata MetMalaysia merekodkan satu gempa bumi lemah bersama lima gempa bumi susulan (lemah) yang berlaku di sekitar kawasan Segamat, Johor, dari 24 Ogos hingga 30 Ogos, bermagnitud 2.5 hingga 4.1.

“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang untuk kejadian gempa bumi di Johor pada 24 Ogos lalu.

“MetMalaysia tidak menerima laporan gegaran dirasai di Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang bagi gempa bumi susulan di Johor dari 27 hingga 30 Ogos,” katanya dalam kenyataan pada 1 September malam, lapor Berita Harian Malaysia.

Sementara itu, Datuk Abdul Halim berkata musim Monsun Barat Daya (MBD) bermula pada 10 Mei lalu dan akan berterusan sehingga September ini berikutan keadaan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau Malaysia.

“Sepanjang musim ini, kadar kelembapan udara lazimnya adalah rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.

“Sehubungan itu, Malaysia akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan,” katanya.

Beliau berkata semasa kemuncak musim ini pada Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

“Secara amnya, rantau negara menerima tiupan angin baratan sepanjang tempoh ramalan. Lekukan Tropika Nongfa telah lenyap dan kelajuan angin di rantau negara dijangka sedikit melemah.

“Pembentukan garis badai yang membawa ribut petir atau hujan lebat berserta angin kencang berpotensi berlaku di barat Semenanjung Malaysia dan barat Sabah serta utara Sarawak pada awal pagi,” katanya.

Katanya, ribut petir atau hujan pula dijangka berlaku di pedalaman dan timur Semenanjung Malaysia, timur Sabah dan Sarawak pada sebelah petang dan malam sepanjang tempoh ramalan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg