JOHOR BAHRU: Satu gempa bumi lemah dengan magnitud 2.7 menggegarkan Segamat pada awal pagi 30 Ogos, menjadikannya kejadian gempa keenam dalam tempoh seminggu yang menimpa bandar di utara Johor itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa gempa bumi itu direkodkan di sekitar 2 kilometer barat laut Segamat pada 7.29 pagi.
Segamat terletak kira-kira 180 kilometer dari Singapura.
Menurut MetMalaysia, gegaran tersebut boleh dirasakan di sekitar kawasan Segamat, sambil menambah bahawa jabatan itu akan terus memantau keadaan di sana.
Gempa bumi yang pertama – yang melanda Johor pada pagi 24 Ogos, dengan magnitud 4.1 – merupakan yang terkuat dalam tempoh seminggu ini.
Gegaran tersebut turut dirasa di negeri lain termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
Empat lagi gempa susulan dengan magnitud antara 2.5 dan 3.4 berlaku selepas itu, dengan tiga daripadanya di Segamat dan satu di Yong Peng, sebuah kawasan yang terletak 28 kilometer dari bandar Kluang, pada 24 Ogos.
Mereka yang dapat meraskaan gegaran ketika berada di rumah atau di dalam bangunan dinasihatkan supaya menjauhkan diri dari tingkap, kaca dan objek berat, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, dalam satu kenyataan pada 30 Ogos.
Mereka yang berada di luar bangunan pula perlu menjauhkan diri dari bangunan, pokok dan kabel elektrik, manakala mereka yang memandu dinasihatkan berhenti di tempat selamat dan mengelak daripada berada di atas jambatan, tambah Datuk Seri Nor Hisham.
Setakat ini, tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan akibat gempa bumi di Johor itu, menurut pegawai negeri.
Agensi berita Malaysia, Bernama, melaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar, menitahkan semua masjid di Johor agar mengadakan solat hajat susulan gegaran itu untuk memohon perlindungan Allah swt serta dijauhkan daripada malapetaka dan bencana.
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pula menyatakan bahawa gempa bumi itu mungkin berpunca daripada pergerakan cetek kerak bumi di kawasan garisan sesar (fault line) di Mersing.
Menurut akhbar The Star, Johor sebelum ini pernah mengalami gempa bumi lebih kuat berukuran magnitud 5.4 pada Januari 1922, dengan kerosakan kecil dilaporkan akibat gegaran itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg