JOHOR BAHRU: Gegaran gempa bumi lemah dengan magnitud 4.1 dikesan berlaku di Segamat, pada pagi 24 Ogos, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Pusat gempa terletak di 2.5 darjah utara dan 102.8 darjah timur pada kedalaman 10 kilometer, 5 kilometer ke barat Segamat,” kata kenyataan tersebut.
Segamat terletak sekitar 180 kilometer dari Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata gegaran tersebut dikesan pada 6.13 pagi.
Beliau berkata kerajaan Johor menasihati orang ramai supaya menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.
Katanya, beliau telah berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi, dan dimaklumkan bahawa tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan, setakat ini.
“Kerajaan Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan. Nasihat saya kepada rakyat, jauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.
“MetMalaysia akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran melalui Facebook pada 24 Ogos.
Dalam kemas kini di Facebook, MetMalaysia turut melaporkan satu lagi gempa kecil dengan magnitud sekitar 2.8 berlaku 28 kilometer barat laut Kluang, juga di Johor, sekitar 9 pagi.
Pusat gempa terletak di 2.2 darjah utara dan 103.1 darjah timur, dengan kedalaman 10 kilometer.
Datuk Onn Hafiz turut mengajak rakyat sama-sama berdoa agar Johor dan seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.
Encik Nur Hafiz Mukmin, 32 tahun, yang tinggal di Jalan Tasek Alai, memberitahu Bernama rumahnya bergegar kira-kira 6.13 pagi.
“Pada mulanya, saya sangka struktur rumah hendak runtuh. Saya sangat cemas lalu bergegas mengejut anak dan memaklumkan isteri untuk segera keluar rumah. Namun, sebaik di luar, jiran memaklumkan ia mungkin kejadian gempa bumi,” kata Encik Hafiz.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, dalam hantarannya pula berkata Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian gempa bumi itu.
Berdasarkan data direkodkan, katanya, gegaran sekuat 4.1 magnitud melanda di daerah berkenaan yang jaraknya terletak kira-kira 180 kilometer dari Johor Bahru.
Beliau berkata, gegaran berkenaan turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
“Jabatan Meteorologi akan membuat pemantauan lanjut dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut laman web Agensi Pengurusan Bencana Negara, walaupun Semenanjung Malaysia mempunyai aktiviti seismik yang rendah, kawasan ini tidak terlepas daripada gempa bumi.
Pada 1922, Johor mengalami dua gempa bumi – yang pertama dengan magnitud 5.4 pada Januari, dan yang kedua dengan magnitud 5.0 pada Februari.
Antara 30 November 2007 hingga 14 Januari 2008, satu siri 13 gempa bumi berlaku sepanjang zon sesar Bukit Tinggi – sesar aktif yang merentasi sempadan Selangor dan Pahang.
Pada Mac 2025, selepas gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar serta beberapa bahagian Thailand dan Vietnam, seorang pakar Malaysia memberi amaran bahawa Malaysia perlu terus berwaspada walaupun ia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik.
Presiden Institut Geologi Malaysia, Encik Abdul Rasid Jaapar, berkata walaupun Malaysia tidak terletak di sepanjang zon pertembungan plat tektonik utama – yang mengurangkan risiko gempa bumi besar – beberapa gegaran kecil telah direkodkan di beberapa kawasan dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Beliau memberitahu Bernama bahawa risiko tersebut ada, walaupun “pada masa ini, tiada risiko gempa bumi besar yang signifikan di Semenanjung Malaysia”. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg