Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sistem siaran kecemasan bencana melalui telefon bimbit jelang 2026

Edwin Tong: Usaha beri amaran segera, panduan orang ramai di kawasan terjejas tangani darurat
Aug 20, 2025 | 7:19 PM
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.   
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.    - Foto ST

Penduduk Singapura akan dimaklumkan mengenai kejadian kecemasan pada telefon bimbit mereka, melalui satu sistem amaran bencana yang akan dilaksanakan secara berperingkat menjelang awal 2026.

Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, berkata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan untuk menubuhkan satu Sistem Penyiaran Selular atau ‘Cell Broadcast System’.

Sistem tersebut akan membolehkan pihak berkuasa memberi amaran segera kepada orang ramai di kawasan terjejas tentang sesuatu kejadian kecemasan, dan menyiarkan mesej kecemasan secara langsung ke telefon bimbit mereka, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada 20 Ogos semasa Dialog Dasar Strategik Asean mengenai Pengurusan Bencana 2025, lapor The Straits Times (ST).

“Mesej ini akan memberi panduan sangat jelas kepada orang ramai mengenai langkah perlindungan yang boleh diambil,” tambahnya.

Encik Tong berkata demikian kepada sekitar 230 tetamu semasa dialog di Grand Hyatt Singapura, termasuk pegawai pemerintah, wakil badan bukan pemerintah (NGO), dan karyawan dalam bantuan dan pengurusan bencana.

Sistem Penyiaran Selular itu adalah tambahan kepada Sistem Amaran Awam (PWS) sedia ada, merangkumi rangkaian siren, dan aplikasi myResponder SCDF, yang menasihatkan orang ramai supaya memberi respons kepada kebakaran kecil, dan kes serangan jantung di kawasan berhampiran.

Singapura juga mempunyai aplikasi SGSecure, yang memberi tumpuan kepada tindakan keganasan.

Dalam ucapannya, Encik Tong menekankan peri pentingnya teknologi komunikasi dalam pengurusan bencana, sambil menambah:

“Dalam keadaan kecemasan, amat penting untuk memastikan komunikasi dengan orang ramai dilakukan secara pantas dan tepat pada masanya.”

Beliau berkata Asean harus mengamalkan inovasi dalam meningkatkan keupayaan pengurusan bencana.

“Dari segi teknologi, saya rasa kita semua bersetuju bahawa ia kini bergerak dan berkembang dengan cepat.

“Apa yang canggih semalam mungkin tidak lagi keesokan harinya,” ujar beliau.

Encik Tong menekankan pentingnya menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan usaha pengurusan bencana, contohnya, bagi memperbaiki ketepatan dan kelajuan sistem amaran awal dalam mengesan dan meramalkan keadaan bahaya.

Beliau memberi contoh penggunaan sistem ramalan cuaca yang menerapkan AI di Filipina untuk meramalkan corak cuaca dengan lebih tepat di peringkat kejiranan, sambil berkata sistem tersebut memberi penduduk lebih banyak masa untuk membuat persiapan dalam menghadapi kejadian seperti banjir.

Beliau turut berkata bahawa inovasi teknologi berpotensi menyokong operasi bantuan, dengan memberi contoh bagaimana Singapura menggunakan lipas robot atau ‘cyborg’ berikutan gempa bumi di Myanmar pada awal 2025

“Lipas ‘cyborg’ ini membantu dalam usaha mencari dan menyelamat di kawasan yang sangat sukar diakses, bahkan berbahaya, di bawah runtuhan bangunan,” kata Encik Tong.

Ia adalah kali pertama di dunia, di mana lipas robot sedemikian digunakan dalam operasi kemanusiaan.

Laporan sebelum ini menyatakan sebanyak 10 lipas ‘cyborg’ dari Singapura telah dihantar ke Myanmar untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat, selepas gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda negara itu pada Mac, dan mengorbankan lebih 3,000 nyawa.

“Mesej ini akan memberi panduan sangat jelas kepada orang ramai mengenai langkah perlindungan yang boleh diambil.”
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg