Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, yang pernah mencuri tumpuan dunia berikutan tragedi lubang benam yang mengorbankan seorang wanita warga India pada 23 Ogos 2024, sedang menjalani proses naik taraf secara bertahap bagi meningkatkan kebersihan, keindahan dan daya tarikan kawasan itu.
Tinjauan Berita Harian (BH) ke Jalan Masjid India mendapati projek naik taraf medan selera dan kiosk bunga sedang dijalankan bermula 21 Julai lalu, dan dijangka siap pada 14 Disember depan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan yang dikongsi kepada BH, berkata pihak berkuasa tempatan itu komited untuk menaik taraf kawasan medan selera di sekitar Jalan Masjid India, sebagai sebahagian usaha berterusan meningkatkan pengalaman pengunjung dan pelancong.
Menurut DBKL, antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah penyusunan semula peniaga di Jalan Melayu serta penyediaan gerai baru yang lebih sistematik untuk penjaja di kawasan tersebut.
Projek naik taraf juga dijalankan secara bertahap bagi memastikan kegiatan perniagaan sedia ada tidak terganggu.
“Keutamaan kini diberikan kepada penyediaan lokasi perniagaan sementara bagi memastikan kelangsungan perniagaan semasa kerja naik taraf dijalankan,” katanya.
Pada 2024, tragedi lubang benam telah mencetuskan gempar di Jalan Masjid India apabila wanita warga India yang ‘ditelan’ tanah jerlus itu tidak ditemui sehingga operasi pencarian lapan hari ditamatkan.
Berikutan kejadian malang itu, kerajaan Malaysia menjalankan satu audit integriti sistem utiliti bawah tanah di Jalan Masjid India dan sekitarnya, bagi memastikan keselamatan kawasan tumpuan pelancong itu.
Audit integriti itu yang melibatkan pelbagai agensi antaranya DBKL, Jabatan Kerja Raya, Indah Water Konsortium dan pakar geologis, bertujuan melihat apa saja utiliti dan keseluruhan sistem yang ada di bawah tanah, serta mengenal pasti punca mendapan dan lubang benam, untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.
Bagaimanapun, seorang pegawai Kementerian Wilayah memaklumkan kepada BH, laporan audit itu buat masa ini belum dibentangkan kepada Kabinet dan belum boleh didedahkan.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Jalan Tuanku Abdul Rahman, Encik Azkhalim Suradi, berkata pihaknya menyambut baik usaha DBKL menaik taraf kemudahan awam di Jalan Masjid India, terutama selepas tragedi lubang benam pernah memberi kesan terhadap kunjungan pelancong.
“Kita nampak usaha DBKL untuk memperbaiki dan memperindahkan suasana di Jalan Masjid India.
“Usaha ini bukan saja dapat menarik lebih ramai pelancong, tetapi juga dalam masa sama menyediakan kemudahan premis niaga yang lebih selamat dan teratur buat peniaga,” katanya.
Beberapa persatuan dan pemain industri pelancongan yang dihubungi BH mengakui tidak lagi menerima pertanyaan daripada pelancong terutama dari Singapura, mengenai isu keselamatan di Jalan Masjid India, berbanding pada awal tempoh kejadian hingga akhir 2024.
Perkara itu diakui Presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia merangkap Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Johor, Encik Jimmy Leong Wie Kong.
Beliau berkata meskipun Jalan Masjid India pernah menjadi tumpuan utama pelancong luar untuk menikmati pengalaman beli belah jalanan, minat pelancong terutama dari Singapura untuk pergi ke kawasan itu semakin berkurangan.
“Pelancong Singapura khususnya, kian beralih dan lebih menghargai pengalaman melancong di kawasan luar bandar serta kegiatan menghayati keindahan alam semula jadi,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg