SUNGAI BESAR (Selangor): Pelanggan sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, pada 23 Mac gempar apabila menemukan mayat bayi dalam tandas wanita.
Dalam kejadian 11.15 pagi itu, bayi yang tidak dapat dikenal pasti jantina dan bangsa ditemui dalam lubang tandas.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan 12 tengah hari.
“Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi terbabit meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Md Yusof berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua individu disyaki suspek kejadian itu.
“Terdapat pergerakan seorang wanita yang sedang hamil ditemani seorang lagi wanita masuk ke tandas.
“Kedua-duanya didapati menaiki Perodua Bezza berwarna biru manakala nombor pendaftarannya pula tidak jelas,” katanya.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu dan suspek utama kes tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg