Khidmat pengasuh bersubsidi yang pertama di ruang masyarakat telah dibuka pada 3 Mac, dan kini mempunyai dua bayi yang didaftarkan.
EduNanny by Butler, yang terletak di dalam bilik seluas 500 kaki persegi di Kelab Masyarakat (CC) Tampines East, adalah sebahagian daripada projek perintis pemerintah untuk memberi ibu bapa lebih banyak pilihan penjagaan bayi.
Seorang jurucakap Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) berkata ia menyasarkan untuk menyediakan kemudahan kedua di CC Nee Soon East pada separuh pertama 2025, lapor The Straits Times.
Ia juga sedang menilai ruang masyarakat lain untuk menawarkan perkhidmatan sedemikian, terutamanya di lokasi yang permintaan untuk penjagaan bayi adalah lebih tinggi.
Mempunyai khidmat pengasuhan kanak-kanak di ruang sedemikian menawarkan pilihan kepada ibu bapa di lokasi yang sesuai, dan membolehkan pengasuh kanak-kanak menawarkan perkhidmatan mereka walaupun rumah mereka tidak sesuai, kata jurucakap Ecda itu.
Pada 1 Disember 2024, Ecda melancarkan skim perintis menjaga kanak-kanak untuk bayi berumur dua hingga 18 bulan.
Di bawah skim ini, pengasuh sama ada menjaga bayi di rumah pengasuh itu sendiri atau di ruang masyarakat seperti CC.
Khidmat menjaga kanak-kanak disediakan bagi tempoh lima atau 10 jam, antara 7 pagi dengan 7 malam dari Isnin hingga Jumaat, tidak termasuk cuti umum.
Perkhidmatan yang ditawarkan dalam tempoh masa ini adalah bersubsidi, berharga $16.50 untuk satu blok lima jam.
Ibu bapa membayar $719.40 sebulan jika mereka menggunakan khidmat sepenuh masa, atau 10 jam sehari selama lima hari seminggu buat empat minggu, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Di bawah skim perintis itu, tiga pengendali telah dilantik dan bertanggungjawab menggajikan pengasuh, atau penjaga kanak-kanak, istilah yang digunakan Ecda.
Syarikat itu ialah EduNanny by Butler, Kidibliss dan NannyPro Care.
Ketua Eksekutif EduNanny, Encik Poon Da Qian, berkata ia mempunyai enam pengasuh kanak-kanak yang bekerja di situ, dengan lebih 30 sedang menunggu kelulusan saringan Ecda untuk mula bekerja.
Di laman web Ecda, agensi itu berkata ia menjalankan pemeriksaan latar belakang ke atas pengasuh, termasuk jika mereka mempunyai sebarang sejarah jenayah.
Jika bayi itu dijaga di rumah pengasuh, pemeriksaan latar belakang ini juga dilakukan ke atas anggota keluarga pengasuh dan orang lain yang kerap berkunjung ke rumah tersebut.
Sebelum mereka ditempatkan, pengasuh kanak-kanak itu juga perlu menjalani latihan mandatori mengenai penjagaan bayi, antara lain.
Penjaga kanak-kanak EduNanny termasuk pesara, serta ibu berusia 20-an dan 30-an tahun yang ingin menjaga anak mereka sendiri dan pada masa yang sama, memperoleh pendapatan dengan menjaga bayi lain.
Di EduNanny, ibu bapa mempunyai akses kepada siaran kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung bayi mereka.
Ini amat penting memandangkan terdapat berita penderaan yang dilakukan oleh beberapa guru penjagaan kanak-kanak pada masa lalu, kata Encik Poon.
Beliau menambah: “Ibu bapa mahukan siaran CCTV secara langsung. Mereka mahukan lebih ketelusan dalam cara pengendali menjalankan operasi mereka.”
Jurucakap Ecda itu berkata perkhidmatan menjaga kanak-kanak menawarkan penjagaan yang lebih diperibadikan dengan fleksibiliti, berbanding khidmat penjagaan bayi yang ditawarkan di pusat jagaan kanak-kanak.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh memutuskan untuk menggunakan khidmat menjaga anak selama setengah hari, atau hanya pada hari tertentu, bergantung pada keperluan mereka.
Ibu bapa juga boleh menggunakan Akaun Pembangunan Anak (CDA), akaun simpanan khas untuk kanak-kanak yang boleh digunakan untuk membayar yuran prasekolah dan yuran lain, untuk membiayai lagi kos khidmat tersebut.
Jurucakap ECDA itu berkata: “Skim perintis itu bertujuan mengembangkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak agar menjadi satu pilihan penjagaan bayi yang boleh dimampui, selamat dan boleh dipercayai untuk ibu bapa.”
Semasa mengumumkan skim perintis itu pada 2024, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, berkata yuran penjagaan kanak-kanak akan sama dengan apa yang dibayar oleh keluarga berpendapatan sederhana, selepas subsidi, untuk penjagaan bayi di pusat jagaan kanak-kanak yang dikendalikan oleh pengendali utama.
Sementara itu, perkhidmatan penjagaan kanak-kanak swasta berharga sekitar $1,200 hingga $2,800 sebulan, dan ini berbeza mengikut pengaturannya, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga sebelum ini.
Skim perintis asuhan kanak-kanak itu, yang akan berlangsung selama tiga tahun, menyasarkan untuk memberi perkhidmatan kepada 500 bayi pada tahun pertama.
Menurut garis panduan Ecda, setiap penjaga kanak-kanak dibenarkan menjaga sehingga tiga bayi pada satu-satu masa di bawah skim perintis penjagaan kanak-kanak itu.
Ini dibandingkan dengan seorang kakitangan untuk sehingga lima bayi di bawah program penjagaan bayi yang dikendalikan oleh pusat jagaan kanak-kanak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg