SUNGAI PETANI (Kedah): Selepas enam bulan licik mencuri sarung meter air milik Syarikat Air Darul Aman (Sada), sindiket yang dikenali sebagai, ‘Geng Bob’, akhirnya tumpas hasil serbuan polis baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Hanyan Ramlan, berkata pihaknya menahan dua suspek berusia lingkungan 30-an tahun di sekitar daerah itu dalam operasi ‘Op Lusuh’.
Beliau berkata operasi dilancarkan susulan peningkatan kes kecurian harta benda di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, lapor Berita Harian Malaysia.
“Hasil risikan maklumat dalam operasi itu pada 12 Mei lalu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Muda menahan suspek dalam dua serbuan berasingan.
“Kami turut menahan seorang lelaki dipercayai pengusaha kedai barangan lusuh berusia sekitar 30-an tahun, disyaki membeli sarung meter air yang dicuri itu untuk membantu siasatan.
“Hasil serbuan, polis merampas 45 unit sarung meter air milik Sada, satu beg plastik hitam berisi wayar tembaga yang sudah dibakar dianggar seberat 11.05 kilogram dan sebuah kereta milik suspek,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda pada 25 Mei.
Encik Hanyan berkata suspek turut dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan masing-masing mempunyai rekod lampau jenayah serta dadah.
“Hasil serbuan bersama pihak Sada, kami dapat menyelesaikan 45 kes curi meter air di daerah ini.
“’Geng Bob’ dikesan mencuri meter air di kawasan perumahan atau kedai makan yang diletakkan di luar rumah atau premis sekitar awal pagi.
“Orang ramai disaran membuat kunci tambahan pada meter air bagi mengekang kejadian sama,” katanya.
Encik Hanyan berkata nilai rampasan dianggar sebanyak RM6,000 ($1,827) manakala kereta yang dirampas disita untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg