Sungai Merbok mengalir tenang petang itu. Ia mengalir dari Sungai Petani dan Merbok, bermula dari kawasan pedalaman dan mengalir ke arah barat laut, akhirnya memasuki Selat Melaka melalui muara di Pantai Merdeka di selatan dan Tanjung Dawai di utara.
Sebelum ini, Sungai Merbok mungkin hanya dikenali dengan ketenangan sebegitu selain keindahan flora dan fauna juga kepelbagaian biodiversiti serta hutan paya bakau.
Namun kegigihan Encik Mohamad Ridzwan Ishak, 53 tahun, menyaksikan ia muncul sebagai lokasi penternakan tiram, lapor Berita Harian Malaysia.
Bermula dengan niat mahu menjaga kelestarian hutan bakau, Encik Mohamad Ridzwan yang dahulunya seorang pemandu treler, berjaya melakar peta baru dalam hidupnya sebagai penternak tiram di Sungai Merbok.
Katanya, semua itu bermula secara tidak sengaja.
Awalnya beliau terbabit sebagai sukarelawan bagi projek penanaman pokok bakau dan pusat tuisyen percuma untuk anak-anak penduduk di Kampung Sungai Besi, Lembah Bujang.
Namun di situlah detik perubahan bermula dalam hidupnya apabila beliau melihat peluang untuk memajukan ekonomi setempat.
Peluang itu datang menerusi saranan Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (Cemacs), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Aileen Tan Shau Hwai, yang menyaran beliau menternak tiram di sungai itu.
“Sebelum ini, lokasi berkenaan sudah diusahakan oleh seorang pesara USM, Allahyarham Haji Ramli.
“Selepas bersara, Haji Ramli kembali ke ke kampung untuk membantu kemajuan pendidikan anak kampung dengan membuka pusat tuisyen percuma, dan saya tampil sebagai sukarelawan.
“Dalam masa sama, dia bimbing penduduk kepentingan menanam pokok bakau,” katanya
Menurutnya, Haji Ramli menyatakan misinya untuk memajukan lokasi berkenaan sebagai destinasi ekopelancongan berkonsepkan pendidikan.
Dari situ katanya, beliau menerima tunjuk ajar Dr Aileen untuk menternak tiram.
Kebetulan pula, mereka ketika itu sedang membuat jambatan merentasi paya bakau selain rakit menggunakan kayu dan tong yang hanyut di sungai.
“Ketika itu kami berhasrat untuk kumpulkan ikan kecil yang ditangkap nelayan seperti kerapu, jenahak, siakap merah yang biasanya dibiarkan mati saja di pukat.
“Namun, hajat kami itu tak jadi, sebaliknya kami teruskan untuk menternak tiram,” katanya.
Usahanya itu dimulakan dengan langkah kanan apabila memperoleh dana yang diterima daripada USM menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2012.
Sejak itu katanya, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.
Meskipun menternak tiram bukanlah sesuatu yang mudah kerana pada peringkat awal, banyak perlu dipelajari dalam memastikan hidupan air itu mampu bertahan di air tawar, namun berkat bimbingan diberikan, beliau mampu mempelajari teknik penternakan tiram bermula daripada cara memelihara benih yang amat sensitif.
“Saya ambil masa empat tahun belajar mengenai tiram ini. Setahun pertama tumpuannya lebih kepada aktiviti memantau keadaan benih tiram yang dibeli daripada penjual dari Balik Pulau, Pulau Pinang.
“Dalam masa sama, saya diajar untuk peka dengan kualiti air bagi memastikan projek ini dapat diteruskan,” katanya.
Hari ini ,sesudah hampir 13 tahun, Encik Mohamad Ridzwan sudah mempunyai lima sangkar yang dihuni kira-kira 100,000 tiram, dengan antara jenis tiram yang diternak adalah daripada jenis Crassostrea Belcheri, Iredelei dan Manggalana.
Katanya, setiap bulan beliau mampu mampu menjual antara 500 dengan 800 tiram, yang dijual dengan harga antara RM5 ($1.50) dengan RM15 sebiji, mengikut saiz.
Malah lokasi itu juga katanya, turut menjadi tumpuan pengunjung yang mahu merasai sendiri keenakan tiram.
“Alhamdulillah, hasil jualan tiram ini saya dapat beri pendidikan untuk anak-anak, tiga daripada mereka kini belajar di institut pengajian tinggi, manakala tiga lagi masih sekolah.
“Dalam masa yang sama, saya turut memberi peluang penduduk kampung bekerja di sini.
“Usaha ini tidak berpaksi keuntungan semata-mata, yang penting saya dapat berkongsi rezeki penduduk dan bersama-sama menjana ekonomi orang kampung,” katanya.
Menternak tiram bukan hal mudah kerana cabaran yang menanti juga adakala di luar jangka. Apatah lagi ia menuntut ketelitian yang tidak boleh ditolak ansur.
Penternak tiram, Encik Mohamad Ridzwan Ishak, berkata paling utama ialah memastikan kualiti air tidak tercemar kerana hidupan air itu memakan plankton yang hidup di dalam air secara semula jadi.
“Selebihnya, saya perlu memastikan anak tiram yang masih kecil tidak diserang ketam dan sentiasa membersihkannya daripada teritip yang biasa melekat di cengkerang.
“Perkara paling penting ialah air sungai ini tidak dicemari bahan kimia. Jika itu berlaku, plankton yang menjadi makanan tiram terhapus,” katanya.
Ladang tiram Encik Mohamad Ridzwan, mengambil masa kira-kira 15 minit dengan bot dari Jeti Semeling, Sungai Petani.
Malah sebenarnya, sebagai anak kampung yang membesar dalam arus Sungai Merbok, tiram sudah menjadi sebahagian warna-warni kehidupannya sejak kecil.
Bagaimanapun, tunjuk ajar yang diterima daripada penyelidik, Kajian Samudera dan Pantai, USM, menjadikannya lebih berpengetahuan dan berkemahiran.
“Air paya bakau yang bersih amat penting untuk pertumbuhan tiram, jadi saya perlu buat pemantauan berkala bagi memastikan tahap kebersihan dan kemasinan air berada pada paras selamat.
“Tiram memang sesuai diternak dalam air paya bakau, USM sudah buat kajian di kawasan sungai ini tapi kalau air kotor atau tercemar, tiram boleh mati dalam masa beberapa hari,” katanya.
Tahap kemasinan air atau ‘salinity’ yang ideal mestilah melebihi bacaan 10 dan sekiranya bacaan turun antara lima dengan 10, risiko kematian tiram meningkat secara drastik.
Bagi memantau keadaan air, alat pengukur khas digunakan selain menerima kunjungan bulanan daripada pegawai Jabatan Perikanan yang menjalankan pemeriksaan terhadap tahap kemasinan, kehadiran plankton, oksigen serta tahap pencemaran.
Encik Mohamad Ridzwan berkata tiram juga perlu dicuci dan digoncang secara berkala bagi mengelakkan selut melekat serta memastikan ia tidak melekat antara satu sama lain.
Bagaimanapun katanya, proses goncangan hanya boleh dilakukan seminggu sekali sahaja, jika terlalu kerap ia akan menjejaskan pertumbuhan tiram.
Tambahnya, tiram yang sesuai dimakan adalah yang mencecah usia lebih setahun, bagi memastikan saiz dan kualiti isinya berada pada tahap optimum.
Mengusahakan ternakan tiram sejak 2012, Encik Mohamad Ridzwan berkata selain pencemaran, tiram juga perlu dilindungi daripada serangan haiwan pemangsa.
“Musuh utama kepada tiram ialah ketam, terutamanya ketika saiz tiram masih kecil. Ketika itu, cangkerangnya masih nipis dan mudah dipecahkan oleh ketam.
“Kalau tiram dah besar lebih tiga inci, ketam pun dah tak mampu nak pecahkan cangkerangnya, tapi sebelum itu sangat mudah jadi mangsa,” katanya.
Sebagai langkah perlindungan, semua sangkar tiram ditutup dengan jaring bagi mengelakkan serangan ketam dan haiwan lain yang boleh menjejaskan hasil ternakan.
Kongsinya lagi, setiap bulan, semua tiram yang diternak akan digredkan mengikut saiz, bagi memudahkan proses jualan dan pengurusan stok secara teratur.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg