Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu hampir hilang anak di M’sia gara-gara belon tersekat dalam saluran pernafasan

May 23, 2025 | 12:17 PM
Malaysia, belon, saluran pernafasan
Gara-gara sebiji belon yang belum ditiup tersekat dalam saluran pernafasan hingga menyebabkan jantung terhenti seketika, seorang ibu hampir kehilangan anak. - Foto FACEBOOK NURUL HUDA ZULKHAIRI

SHAH ALAM: Gara-gara sebiji belon yang belum ditiup tersekat dalam saluran pernafasan hingga menyebabkan jantung terhenti seketika, seorang ibu hampir kehilangan anak.

Menurut perkongsian Cik Nurul Huda Zulkhairi di Facebook, beliau tidak menyangka sambutan hari lahir yang dirancang buat anaknya itu berubah menjadi sejarah hitam dalam hidupnya.

Cik Nurul Huda berkata pada mulanya beliau dan suami sibuk melayani tetamu, manakala anaknya bermain bersama kawan baik, namun keadaan bertukar cemas tidak lama kemudian.

“Sebelum kejadian, Uwais Al-Fateh sempat duduk di meja saya sambil minum air, kemudian berlalu pergi dan sambung bermain lari-lari di dalam rumah.

“Seorang adik ipar saya ada maklum, ‘Uwais macam semput’, suami saya pun ambil pam memandangkan Uwais selalu kena serangan asma dahulu. Tiba-tiba keadaan kembali tegang apabila seorang lagi adik ipar berlari bawa anak saya kepada suami dengan keadaannya yang biru ketika itu. Jantung dah berhenti.

“Suami dan kawannya buat beberapa prosedur, mereka ingat anak saya mungkin tersedak makanan. Namun, setelah cuba teknik pernafasan kecemasan (CPR) untuk keluarkan makanan masih gagal. Mereka terus ke hospital,” katanya kepada Sinar Harian pada 22 Mei.

Cik Nurul Huda memaklumkan peluang untuk anaknya bernyawa semula mungkin 50-50 disebabkan denyutan jantung sudah berhenti.

Setibanya di hospital, wanita tersebut memberitahu bahawa doktor yang sedang bertungkus lumus menyelamatkan anaknya ternampak belon di dalam saluran pernafasan ketika ingin menjalani proses intubasi.

“Doktor cepat-cepat keluarkan belon tersebut dan terus lakukan CPR. Alhamdulillah nyawa anak saya Allah swt pulangkan kembali!

“Terima kasih kepada pasukan Unit Kecemasan Hospital Kulim, Kedah yang begitu pantas rawat anak saya, begitu juga Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah.

“Segalanya berlaku begitu pantas, rupa-rupanya Uwais bergurau dengan kawan baiknya, memasukkan belon ke dalam mulut sambil berlari-lari dan mungkin tersedak lalu tercekik,” ujarnya lagi.

Cik Nurul Huda menerusi hantaran terbaharunya memberitahu tekanan darah, nadi dan paras oksigen anaknya stabil, namun masih dalam fasa merehatkan otak.

Jelasnya, Uwais juga masih menerima bantuan pernafasan dan ditambah dua beg darah selain terdapat kesan pendarahan pada paru-paru yang berkemungkinan kesan daripada teknik CPR.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg