Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gerai makanan diarah tutup selepas lipas berselerak dalam rak makanan

Aug 21, 2024 | 12:36 PM
Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut dan KPDN melakukan pemeriksaan terhadap gerai di medan selera New World Park, Jalan Burma, Georgetown, Pulau Pinang.
Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut dan KPDN melakukan pemeriksaan terhadap gerai di medan selera New World Park, Jalan Burma, Georgetown, Pulau Pinang. - Foto NSTP

GEORGETOWN (Pulau Pinang): Puluhan lipas ditemukan dalam rak simpanan bahan makanan menjadi antara punca beberapa gerai di medan selera New World Park, Jalan Burma di sini, diarah tutup selama 14 hari.

Premis lain yang diperiksa pula didapati pengendali makanan menggunakan tuala pengelap dan dapur ‘berkerak’ selain peralatan masak yang hitam.

​Malah, ada peniaga lari meninggalkan gerai tanpa menutup api di dapur selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.

Pegawai Operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Encik ​Muhammad Firdaus Abdul Halim, berkata dua daripada 28 premis yang diperiksa diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Sebanyak 21 notis atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan kepada peniaga.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah pengendali makanan tidak mempunyai suntikan antitifoid dan tidak menjalani latihan pengendali makanan.

“Kita juga mengesan premis yang menyimpan ramuan makanan melebihi tarikh luput dan persekitaran yang tidak bersih serta kotor,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Terdahulu, o​perasi berkenaan turut membabitkan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pada pemeriksaan itu juga, peti sejuk di beberapa gerai turut didapati diletakkan dengan pelbagai bahan makanan yang dikhuatiri berlaku pencemaran silang.

Pegawai penguat kuasa KPDN turut memeriksa dan menerangkan kepada pemilik premis mengenai penyimpanan tong gas petroleum cecair (LPG).

Menurut Encik Muhammad Firdaus, keseluruhan kompaun adalah berjumlah RM6,900 ($2,059).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg