Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gerakan belia lancar kempen Anak Sabah Balik Mengundi, sasar RM60,000 dana awam

Oct 24, 2025 | 4:10 PM
Ahli Hai Mandak! (dari kiri) Cik Cindy May Justin, Cik Suriana Mohammad Salleh, Cik Priska Magdalena Sinem dan Cik Calvina Angayung, yang menggerakkan kempen “Anak Sabah Balik Mengundi”.
Ahli Hai Mandak! (dari kiri) Cik Cindy May Justin, Cik Suriana Mohammad Salleh, Cik Priska Magdalena Sinem dan Cik Calvina Angayung, yang menggerakkan kempen “Anak Sabah Balik Mengundi”. - Foto ihsan HAI MANDAK!

Gerakan belia bebas Hai Mandak! melancarkan kempen “Anak Sabah Balik Mengundi” bagi membantu golongan muda negeri itu pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Wakil Hai Mandak!, Cik Priska Magdalena Sinem, 24 tahun, berkata inisiatif itu digerakkan secara ‘crowdfunding’ atau pendanaan awam hasil sumbangan orang ramai bagi menampung kos perjalanan anak muda Sabah, khususnya mereka yang berada di Semenanjung dan Sarawak.

“Lebih 400,000 orang Sabah kini berada di luar negeri. Ramai antara mereka mahu balik mengundi, tetapi tidak layak memohon undi pos kerana hanya diperuntukkan kepada kakitangan kerajaan yang bertugas pada hari mengundi,” jelasnya.

Menurut Cik Priska, harga tiket penerbangan pergi-balik ke Sabah kini melebihi RM1,000 ($307) seorang, menyebabkan ramai pengundi muda berdepan kekangan kewangan.

Justeru, kempen itu diwujudkan bagi membantu sekurang-kurangnya 100 anak muda Sabah, termasuk 50 orang di luar negeri dan 50 dari dalam Sabah sendiri untuk pulang ke kawasan masing-masing.

“Setakat ini, sejak kempen dilancarkan pada 6 Oktober, kami telah berjaya mengumpul RM7,000, dan berharap dapat mencapai sasaran RM60,000 untuk menampung kos penerbangan serta pengangkutan darat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Kempen itu turut menyasarkan pengundi kali pertama berusia antara 18 hingga 24 tahun, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang benar-benar berhasrat pulang mengundi tetapi tidak berkemampuan.

Hai Mandak! yang digerakkan oleh empat anak muda Kota Belud, turut melaksanakan program Kelas “Ko Ada Kuasa Bah!”, iaitu siri bengkel fizikal dan dalam talian yang memberi pendedahan kepada belia mengenai kepentingan politik dan tanggungjawab sivik.

Selain itu, gerakan itu juga akan menjalankan kempen “30 Hari, 30 Konten PRN” di media sosial untuk memperkukuh kesedaran sivik anak muda.

Cik Priska menjelaskan bahawa Hai Mandak! tidak terikat dengan mana-mana parti politik atau agensi kerajaan, dan inisiatif ini dijalankan sepenuhnya atas semangat belia Sabah yang mahu melihat lebih ramai pengundi muda pulang menunaikan tanggungjawab.

“Kami sudah menghubungi 90 syarikat untuk bekerjasama, namun tiada dana diterima. Jadi kami teruskan dengan sumbangan awam. Semua maklumat dan borang pendaftaran boleh didapati melalui akaun media sosial rasmi Hai Mandak!,” katanya.

“Suara anak muda Sabah bukan sekadar ‘kingmaker’ dalam PRN, tetapi penentu masa depan negeri ini,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi PRN Sabah Ke-17.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg