Sabah sekali lagi menjadi tumpuan politik negara selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dalam tempoh 60 hari.
PRN negeri itu dijadual pada 29 November dengan hari penamaan calon pada 15 November.
Keadaan ini mencetuskan pelbagai persoalan, adakah PRN kali ini akan melahirkan kerajaan stabil atau hanya mengulangi kitaran lama politik tidak menentu seperti sebelum ini.
Persoalan ini bukan sekadar ungkapan semata-mata, tetapi menggambarkan ujian sebenar terhadap kematangan politik Sabah serta sejauh mana rakyat serta pemimpin mampu meninggalkan budaya politik lompat parti (katak) yang sudah terlalu lama berakar.
Bagi rakyat Sabah, politik bukan hanya soal perebutan kuasa atau slogan pilihan raya. Ia adalah soal maruah dan masa depan negeri. Sejak beberapa dekad lalu, terlalu banyak episod pertukaran kerajaan berlaku bukan kerana pilihan rakyat di peti undi, tetapi akibat tindakan individu berpaling tadah atas alasan kepentingan peribadi.
Fenomena ini mencalar keyakinan rakyat terhadap demokrasi dan menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri. Setiap kali kerajaan bertukar, dasar pembangunan berubah. Projek dirancang terbantut, pelabur menangguh keputusan dan akhirnya rakyat menanggung akibatnya.
Budaya lompat parti bukan perkara baru dalam sejarah politik Sabah. Ia pernah dianggap sebagai strategi kelangsungan politik bagi sesetengah pemimpin, tetapi bagi rakyat, tindakan itu pengkhianatan terhadap mandat diberikan. Mandat rakyat seharusnya dihormati dan tidak dijadikan bahan tawar-menawar untuk kepentingan sementara.
Undang-undang antilompat parti telah diperkenalkan pada peringkat Persekutuan adalah langkah penting memperkukuh sistem demokrasi. Namun, pelaksanaannya pada peringkat negeri memerlukan komitmen politik yang tinggi.
Sabah perlu menjadi negeri contoh memperkukuh prinsip ini. Jika setiap wakil rakyat berpegang kepada integriti dan menghormati janji kepada rakyat, budaya lompat parti boleh dihentikan sepenuhnya.
PRN akan datang bukan sekadar medan memilih wakil rakyat, tetapi peluang untuk rakyat Sabah menyampaikan mesej jelas kepada seluruh negara.
Adakah rakyat akan terus memilih berdasarkan emosi dan janji manis atau berdasarkan kejujuran dan prestasi calon? Adakah pemimpin pernah melompat parti masih akan diberikan peluang atau rakyat menolak mereka sebagai tanda penolakan terhadap politik tidak berprinsip?
Perkembangan teknologi dan media sosial kini menjadikan rakyat Sabah semakin celik politik. Maklumat disebarkan dengan pantas dan rakyat tidak lagi mudah dipengaruhi dengan retorik semata-mata.
Anak muda Sabah khususnya semakin berani bersuara dan menuntut kebertanggungjawaban pemimpin. Mereka mahukan pemimpin ikhlas berkhidmat, bukan sekadar mencari kedudukan. Inilah generasi baru yang akan menentukan hala tuju masa depan negeri.
Namun, perubahan sebenar hanya akan berlaku jika rakyat dan pemimpin bergerak seiring. Rakyat perlu berani menolak calon tidak berprinsip, sementara pemimpin harus berani menegakkan nilai integriti meskipun menghadapi tekanan politik.
Sabah tidak boleh terus menjadi medan percubaan bagi parti yang hanya datang mencari peluang. Negeri itu memerlukan kepimpinan konsisten, berwawasan dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
Kematangan politik tidak akan datang secara spontan. Ia memerlukan masa, pengalaman dan keazaman memperbetulkan kesilapan lalu.
Sabah melalui pelbagai fasa politik sejak dahulu, dari era pemerintahan tidak stabil hingga usaha memperkukuh perpaduan pelbagai kaum dan agama. Setiap fasa membawa pengajaran berharga dan membuka ruang refleksi terhadap hala tuju masa depan negeri itu.
Menjelang hari pengundian, semua pihak perlu merenung sejenak. Apakah mahu melihat sejarah berulang atau mahu menulis bab baru lebih bermaruah dan matang. Pilihan kini di tangan rakyat Sabah sendiri.
Pemimpin perlu melihat politik sebagai amanah yang datang bersama tanggungjawab besar, bukan sekadar permainan kuasa. Rakyat pula harus sedar undi mereka adalah simbol harapan dan senjata perubahan. Jika kedua-dua pihak memahami peranan masing-masing, Sabah akan mampu muncul sebagai negeri contoh dengan budaya politik matang dan berintegriti.
Ujian kematangan politik Sabah bukan hanya bergantung kepada undang-undang atau peraturan. Ia bergantung kepada kejujuran dan kekuatan moral mereka yang memegang kuasa.
Sejauh mana mereka mampu menolak godaan, menahan tekanan dan berpegang pada prinsip akan menentukan masa depan negeri. Rakyat pula harus bersedia menilai calon bukan sekadar berdasarkan nama atau parti, tetapi pada nilai perjuangan dibawa.
Dalam tempoh 60 hari mendatang, seluruh negara Malaysia akan menumpukan perhatian ke arah Sabah. Ia akan menjadi pentas ujian terhadap sejauh mana kita benar-benar memahami makna demokrasi dan kestabilan politik.
Inilah masanya untuk membuktikan Sabah bukan sekadar negeri sering bergolak, tetapi mampu bangkit dengan semangat baru dan kematangan politik tinggi.
Sabah harus dikenang bukan sebagai negeri sering bertukar kerajaan, tetapi negeri berjaya melangkaui budaya politik lama dan membina masa depan lebih stabil, adil dan makmur.
Rakyat Sabah berhak menikmati keamanan politik berkekalan dan pentadbiran berkesan. Bagi mencapai itu semua, kesedaran dan keberanian rakyat menentukan hala tuju politik mereka adalah kunci utama.
Kini, masa depan Sabah berada di persimpangan. Sama ada terus dibayangi sejarah lama atau melangkah ke era baru lebih matang, bergantung kepada pilihan rakyat pada PRN kali ini. Tidak mustahil Sabah mampu menulis sejarah baru membanggakan seluruh warganya dan menjadi inspirasi kepada negeri lain di Malaysia.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Perlis. Artikel ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg