Topic followed successfully
Go to BHkuGerakan sedia terima parti baru Hamzah sertai PN
Gerakan sedia terima parti baru Hamzah sertai PN
Presiden Gerakan alu-alu parti kongsi ideologi sama, namun Bersatu mungkin tidak sependapat
Gerakan sedia terima parti baru Hamzah sertai PN
KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) membuka pintu kepada parti baru pimpinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), meskipun langkah itu mungkin tidak mendapat restu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), rakan komponen PN.
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, menegaskan pendirian parti adalah mengalu-alukan mana-mana parti yang berkongsi ideologi yang sama untuk menyertai gabungan tersebut.
Ketika ditanya sama ada kemasukan ‘rumah baru’ Datuk Hamzah ke PN boleh direalisasikan meskipun Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat itu kini ‘bermusuhan’ dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dominic menyatakan ia mungkin berlaku.
Menurutnya, permohonan kemasukan tertakluk kepada peraturan, proses dan perlembagaan yang ditetapkan.
“Mana-mana parti hendak memohon masuk PN, asalkan ideologi sama, untuk membantu dan mewakili rakyat dan bersuara dalam Parlimen, kita memang mengalu-alukan.
“Di PN kita ada peraturan atau perlembagaan diri kita sendiri.
“Apa-apa permohonan baru parti nak bersama-sama dengan PN, kita mesti melalui proses yang tertentu.
“Seperti kita katakan dalam PN, kita kena bincang.
“Mana-mana parti yang hendak masuk PN, kita alu-alukan tetapi mesti ikut prosedur, ikut perlembagaan PN,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu pada Mac lalu, Tan Sri Muhyiddin, dilaporkan berkata beliau tidak mampu membayangkan kerjasama dengan Datuk Hamzah pada tempoh terdekat ini, kerana beliau sudah tidak mempercayai nama itu lagi.
Mantan Perdana Menteri dan mantan Pengerusi PN itu berkata beliau sendiri akan menolak, sekiranya Datuk Hamzah bersama ‘rumah baru’ beliau kelak, mahu menyertai PN.
Sebelum ini, Datuk Hamzah dilaporkan akan memimpin sebuah parti baru selepas dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.
Pada masa sama, Datuk Dominic berkata Gerakan tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Datuk Hamzah, malah mempunyai hubungan yang erat sepanjang berada mereka dalam PN sebelum ini.
“Kita tiada masalah dengan Datuk Hamzah daripada beliau menjadi Setiausaha Agung sampai Timbalan Presiden (Bersatu) dan kita pun melalui banyak pilihan raya bersama juga.
“Semua komponen parti, pemimpin daripada PN, Parti Islam SeMalaysia (PAS), Bersatu dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), perhubungan kita memang erat,” katanya.
Ditanya sama ada Tan Sri Muhyiddin perlu berlapang dada menerima kerjasama itu, Datuk Dominic menjawab Gerakan tidak boleh mencampuri pendirian parti komponen PN.
Namun, jelas beliau, Gerakan boleh tampil sebagai pendamai, bukan sahaja antara kedua-dua pemimpin itu, malah pihak lain, demi menumpukan musuh sebenar di luar PN.
Dalam perkembangan lain, Datuk Dominic turut mendedahkan PN menerima permohonan penyertaan daripada parti Pejuang yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir, anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN, berkata permohonan itu belum diluluskan kerana gabungan itu memerlukan butiran dan maklumat lebih terperinci sebelum membuat keputusan.
“Kita tidak terima terus, bukan kita tolak, tetapi kita nak butiran yang lebih daripada parti terbabit sebelum kita menerima mereka,” katanya.

