Hamzah yakin mampu satukan dua gabungan blok politik M’sia
Hamzah yakin mampu satukan dua gabungan blok politik M’sia
Ketua Pembangkang akur wujud keperluan kembalikan satu pasukan besar bagi stabilkan politik M’sia
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yakin mampu menjadi jambatan kepada penyatuan dua gabungan parti besar di Malaysia ketika ini.
Tanpa menamakan gabungan parti mana, kenyataan Ahli Parlimen Larut (Perak) itu dipercayai merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata banyak pihak termasuk media yang menyifatkan beliau sebagai seorang “operator” dan walaupun berada dalam blok pembangkang, beliau tidak mempunyai masalah untuk bercakap dengan mana-mana pihak dalam arena politik hari ini.
Menggunakan analogi kapal lama dan baharu, Datuk Hamzah berkata dalam landskap politik ketika ini, wujud keperluan mengembalikan satu pasukan yang besar bagi menstabilkan politik dalam negara itu.
“Perlu ada faktor penyatuan bagi mengukuhkan mana-mana kumpulan, tidak kira kumpulan mana yang datang dalam arena politik ini.
“Apa yang terbaik adalah mempunyai seseorang yang boleh merapatkan semua kapal (merujuk parti politik) yang ada itu.
“Bagi melakukan perkara itu, sudah tentu boleh diletakkan kepada seseorang yang boleh dijadikan faktor penyatuan. Saya percaya saya boleh melakukannya.
“Media biasa memanggil saya sebagai ‘operator’. Adakah salah bagi saya melaksanakan satu lagi pusingan tindakan hanya bagi memastikan semua orang akan datang bersama-sama? Tidak ada salahnya.
“Bila ada orang meletakkan saya sebagai peneraju di hadapan, mungkin atas sifat kerana saya menjadi Ketua Pembangkang, tetapi saya secara peribadi tidak meletakkan diri saya sebegitu.
“Saya meletakkan diri saya ini sebagai pejuang untuk semua dan saya boleh bercakap dengan semua pihak.” katanya dalam satu temu ramah, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Ditanya mengenai sama ada beliau mempunyai impian menjadi Perdana Menteri menyusuli peranannya yang mahu menjadi jambatan penghubung, Datuk Hamzah berkata beliau terbuka mengenai perkara itu.
“Saya pernah bercakap dengan kawan-kawan saya, (Vladimir) Putin juga pernah menjadi ‘operator’, tetapi hari ini, beliau ialah Presiden Russia.
“Perjalanan untuk mencapai sesuatu itu Allah yang tentukan. Jadi, supaya saya tidak menyesal, saya lakukan itu untuk rakyat.
“Jika rakyat menerimanya, alhamdulillah, tetapi jika tidak, saya tidak menyesal kerana saya sudah mencuba,” katanya.
Mengenai sama ada beliau sedia bekerjasama dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika akhirnya memutuskan cenderung kepada Perikatan Nasional (PN), Datuk Hamzah berkata beliau sudah mengisytiharkan Tan Sri Muhyiddin sebagai musuh nombor satunya dan tidak akan berpatah semula ke belakang.
Dalam pada itu, Datuk Hamzah mencabar Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan dakwaan dirinya sering bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Datuk Hamzah berkata beberapa pemimpin memaklumkan kepada beliau mengenai pertemuan antara Datuk Mohamed Azmin dengan Datuk Anwar, termasuk seorang Ahli Parlimen Bersatu yang mendakwa anaknya pernah melihat mantan Setiausaha Agung PN itu keluar dari pejabat Datuk Anwar.
Selain itu, mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, juga membuat dakwaan sama di media sosial.
“Banyak orang yang sampaikan kepada saya, jadi saya fikir jawablah. Kalau dia kata tidak, okeylah... tidaklah, tapi kalau ya, satu hari nanti, akan terbukti perkara itu.
“Jadi, orang tidak akan percaya dengan kamu lagi, itu saja. Anda tidak menjawabnya buat masa ini sehinggakan esok bila ia terbukti, semuanya akan muncul,” katanya.
Baru-baru ini timbul dakwaan Bersatu sedang mewujudkan hubungan rapat dengan PH, namun ia dinafikan Tan Sri Muhyiddin yang menyifatkan dakwaan terbabit sebagai tuduhan liar yang tidak berasas serta berniat jahat.

