Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gerakan tak teragak-agak keluar PN terkait isu sekolah vernakular

Jul 29, 2024 | 11:11 AM
Timbalan presiden parti Gerakan, Encik Oh Tong Keong.
Timbalan presiden parti Gerakan, Encik Oh Tong Keong. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan tidak akan teragak-agak untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) jika tindakan itu bermakna mempertahankan pendidikan Cina, kata timbalan presiden parti itu, Encik Oh Tong Keong.

Beliau berkata Gerakan juga tidak akan kekal dalam gabungan itu jika terpaksa tunduk terhadap tuntutan konservatif dan tidak munasabah melampau daripada parti tertentu.

Encik Oh menjawab amaran Ketua Penerangan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Ahmad Fadhli Shaari, bahawa PN mungkin menggugurkan Gerakan pada pilihan raya umum akan datang.

Ini selepas PAS dan Gerakan mengambil pendirian bertentangan dalam isu syarikat minuman keras menyalurkan dana kepada sekolah vernakular.

“Gerakan mengesahkan sokongan padu terhadap usaha masyarakat Cina mengumpul dana untuk pendidikan Cina.

“Walaupun ugutan tidak munasabah daripada sekutu PN bahawa tidak akan ada lagi kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang, kami bersedia untuk menghadapinya,” kata Encik Oh pada satu kenyataan, lapor Malaysiakini.

Gerakan sebelum ini menyokong pendirian Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyokong sekolah vernakular yang bekerjasama dengan kilang bir untuk menganjurkan acara mengumpul dana.

Gerakan berpendapat kutipan derma sebegini perlu dilakukan kerana sekolah Cina tidak diberikan dana mencukupi oleh kerajaan persekutuan untuk meneruskan operasi mereka.

Bagaimanapun, Encik Fadhli berkata pandangan sedemikian mengecewakan dan menegaskan jika Gerakan mengekalkan pendapat sedemikian, PAS tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada pilihan raya umum ke-16.

Membalas amaran PAS itu, Encik Oh menjelaskan Gerakan sebelum ini meninggalkan BN pada 2018 untuk menentang rakan pakatan yang korup.

Begitu juga, katanya, jika rakan pakatan dalam PN terus mempamerkan ekstremisme agama dan mencabul hak orang bukan Islam, Gerakan tidak akan teragak-agak meninggalkan gabungan politik sekali lagi.

“Walaupun PAS mempunyai kerusi parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) terbanyak dan merupakan parti terbesar dalam PN, PAS mesti menghormati parti lain dalam gabungan itu.

“Mereka tidak sepatutnya bertindak seperti ‘taiko’ (abang besar) dan menuntut pematuhan daripada semua pihak lain. Mereka mesti belajar untuk meyakinkan orang lain melalui pertimbangan hujah,” ujarnya.

Encik Oh juga menegaskan Gerakan menjunjung prinsip perjuangan politik bukan perkauman dan mempertahankan hak semua kumpulan etnik seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg