Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Umat Islam perlu berakhlak santuni bukan Islam di M’sia

Jul 5, 2024 | 11:24 AM
Al-Azhar
Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, yang juga Pro Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (tengah), menyampaikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah kepada Sheikh Al-Azhar, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, sambil disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk kanan) dalam majlis di Kuala Lumpur. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu mengambil langkah lebih positif dan berani menunjukkan akhlak Islam dalam menyantuni golongan bukan Islam di Malaysia dan rantau Asia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu adalah antara yang diusulkan Sheikh Al-Azhar, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, kepada beliau dalam usaha memastikan perpaduan dalam rakyat berbilang kaum di negara itu.

Dalam pertemuan dengan Sheikh Al-Azhar di Seri Perdana, Putrajaya, pada 4 Julai, Datuk Anwar berkata Sheikh Al-Azhar turut menggesa beliau agar bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh bagi menghimpunkan kekuatan umat.

“Beliau minta memastikan ada sikap yang lebih lunak dan berbaik sangka, hormat-menghormati, lita’aruf (berkenal-kenalan) dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam dalam negara.

“Insya-Allah, kita akan tunaikan amanat ini dengan sebaik mungkin. Kita ingin menyatakan penghormatan setinggi-tingginya dan kita manfaatkanlah pandangan usul yang beliau kemukakan supaya negara kita terselamat dan dapat mencapai cita-cita menjadi negara Madani,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berucap selepas menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah kepada Sheikh Al-Azhar daripada Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, yang disempurnakan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, yang juga Pro Canselor Usim.

Selain itu, Datuk Anwar berkata Sheikh Al-Azhar turut menekankan kepentingan bagi umat Islam menguasai disiplin, ilmu dan teknologi baru untuk maju ke hadapan.

“Beliau juga menyebut mengenai kepincangan yang berlaku akibat daripada serangan dan asakan pemikiran Barat, sama ada liberalnya ideologi yang menyimpang landasan Islam dan mengingatkan kita mengenai bahaya sikap pelampau taasub yang menyebabkan perpecahan,” katanya.

Sheikh Al-Azhar sedang dalam lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari, bermula 2 Julai, atas undangan Datuk Anwar.

Lawatan khas Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, adalah detik bersejarah dalam hubungan dua hala antara Malaysia dengan Mesir selain membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik.

Sheikh Al Azhar merupakan tokoh bidang pengajian Al-Quran selama lebih 23 tahun.

Beliau berkhidmat dalam institusi pendidikan pengajian Islam dalam pelbagai jawatan dan kedudukan termasuk menjadi Presiden Universiti Al-Azhar selama tujuh tahun, sebelum dilantik sebagai Sheikh Al-Azhar bermula Mac 2010.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg