KUALA LUMPUR: Kenyataan Ketua Penerangan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Ahmad Fadhli Shaari, bahawa berlakunya pertemuan tidak rasmi pemimpin parti itu dengan Umno untuk membentuk kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) menimbulkan tanda tanya, berikutan ia dinafikan sendiri pemimpin PAS dan Pakatan Harapan (PH)-Umno.
Sebaliknya, beberapa pemimpin PH menyifatkan pertemuan antara pemimpin parti politik, khususnya dengan pihak yang dianggap sebagai seteru, adalah perkara biasa.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berpandangan perkara itu sengaja ditimbulkan PAS dengan tujuan memecahbelahkan hubungan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tapi (dakwaan pertemuan) itu pun satu pihak saja yang timbulkan. Dia (PAS) yang maklumkan dan kita tak tahu apa motif dia memaklumkan perkara itu (kepada umum).
“Kalau ia bertujuan memecahbelahkan (Kerajaan) Perpaduan, itu memang kerja parti politik macam PAS. Tapi jika pertemuan untuk bincang soal yang lebih besar, kami tak ada halangan.
“Namun, pemimpin PAS sepatutnya bersikap lebih telus jika pertemuan itu dibuat atas kepentingan negara,” katanya, lapor Malaysiakini.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Muhammad Kamil Abdul Munim, pula berpandangan timbulnya isu tersebut menandakan wujudnya perpecahan ketara dalam Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
“Orang politik bertemu (parti lawan) adalah perkara biasa, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Cuma cakap-cakap begini hanya mengesahkan wujudnya perpecahan ketara dalam PN.
“Bersatu kini dilihat sebagai biawak hidup kepada PAS. Manakala PAS pula terbelah kepada dua kumpulan, dengan ada kelompok yang ingin merintis jalan bersama Kerajaan Perpaduan.
“Namun hasrat itu mencabar kerana bimbang ‘dilaknat’ oleh kumpulan yang menganut politik garis keras yang tidak disenangi oleh kelompok yang mahu bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sebelum ini, pemimpin Umno termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, telah menafikan dakwaan Encik Ahmad Fadhli, sekali gus membuktikan komitmen Umno kepada Kerajaan Perpaduan tidak perlu diragui lagi.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, turut menafikan wujud perbincangan rasmi di antara pimpinan PAS dan Umno bagi mewujudkan kerjasama politik pada PRU akan datang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu berkata pertemuan yang dikatakan berlaku itu mungkin terjadi di Parlimen di antara pimpinan kedua-dua parti yang menghadiri sidang Dewan Rakyat.
“Saya hadir semua mesyuarat PAS, tidak ada laporan berkenaan pertemuan seperti yang dilaporkan. Saya Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS. Kalau ada pertemuan mesti saya dimaklumkan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg